Cagliari stesen terakhir The Tinkerman?

Claudio Ranieri
Claudio Ranieri
A
A
A

PENGENDALI veteran, Claudio Ranieri mengumumkan dia mungkin mengakhiri karier di Cagliari selepas kembali mengendalikan Gli Isolani tersebut.

Ranieri yang berusia 71 tahun itu sebelum ini membantu kelab Sardinia berkenaan menaiki tangga dari divisyen bawah ke liga teratas Itali dari 1988 hingga 1991.

Terdahulu, Ranieri memulakan kerjaya pengurusannya di liga bawahan di Itali pada akhir 1980-an, dan mencipta namanya di Cagliari, yang diambilnya dari Serie C1 hingga Serie A dalam musim berturut-turut.

Selepas mencipta impak di Unipol Domus, dia meneruskan karier pengurusan bersama beberapa kelab seperti Napoli, Fiorentina, Valencia, Atletico Madrid, Chelsea, Juventus, AS Roma, Inter, AS Monaco, Nantes dan paling gemilang mengemudi Leicester City merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

The Tinkerman kembali ke Cagliari pada 1 Januari lalu selepas diikat hingga Jun 2025, membawa kelab itu ke promosi melalui play-off Serie B, menyingkirkan Bari 2-1 dalam perlawanan akhir yang dramatik.

“Perjalanan karier saya yang panjang berkemungkinan besar berakhir di Cagliari.

“Namun saya hanya akan membuat pengecualian jika terdapat tugasan untuk pasukan kebangsaan yang baik yang membolehkan saya bekerja dengan tenang dan sempurna.

“Ini kerana apabila saya meninggalkan peranan di Greece, saya meninggalkan dengan perasaan kecewa,” kata bekas pemain pertahanan AS Roma, Catanzaro, Catania dan Palermo itu menjelang musim baharu Serie A.

Sebagai rekod, pengalaman itu sebagai pengendali Greece hanya bertahan selama empat bulan dan empat perlawanan dari Julai hingga November 2014.

Di Greece, Ranieri memimpin pasukan itu dengan keputusan seri 1-1 dengan Finland dan tewas kepada Romania, Ireland Utara dan Kepulauan Faroe.