Geng Lekir, Geng Shafiq tumpas

Wan Mohd Zahari menunjukkan antara barang kes termasuk senjata tajam yang dirampas susulan penahanan dua suspek Geng Lekir di sini pada 21 dan 24 Julai lalu.
Wan Mohd Zahari menunjukkan antara barang kes termasuk senjata tajam yang dirampas susulan penahanan dua suspek Geng Lekir di sini pada 21 dan 24 Julai lalu.
A
A
A

KUANTAN - Polis menumpaskan kumpulan samun 'Geng Lekir' dan 'Geng Shafiq' yang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu di sekitar sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua lelaki tempatan berusia 31 dan 39 tahun yang dipercayai anggota 'Geng Lekir' ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang di sini Jumaat lepas dan di Kampung Seri Damai Isnin lepas.

"Suspek berasal dari Kelantan dan Terengganu itu dipercayai terlibat dalam tiga kejadian samun di Gebeng dan bandar raya ini.

"Suspek dipercayai menjadikan warga Bangladesh dan Myanmar yang berjalan berseorangan sebagai mangsa dan mengugut akan dicederakan dengan pisau jika tidak menyerahkan barangan berharga yang ada.

"Mangsa yang ketakutan difahamkan menyerahkan telefon bimbit, dokumen serta wang tunai dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM5,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pada serbuan itu polis merampas dua buah kereta dan dua bilah pisau, serta suspek direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun berkumpulan dan menggunakan senjata.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari berkata, dua lelaki anggota 'Geng Shafiq' berusia lingkungan 20-an ditahan kerana disyaki menyamun wang tunai RM6,000 daripada peniaga barangan lusuh di sebuah kedai di Kampung Baru Gambang di sini, pagi semalam.

Masing-masing ditahan di Pulau Manis di sini dan Paloh Hinai di Pekan.

"Suspek yang menunggang sebuah motosikal dipercayai berpura-pura mahu menjual besi buruk sebelum meragut beg pinggang mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an menyebabkan mangsa terjatuh dan menerima empat jahitan di kepala," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kedua-dua lelaki itu positif dadah dan wang yang disamun difahamkan telah digunakan untuk membeli dadah dan membayar hutang.

Suspek direman hingga 1 Ogos ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. - Bernama