LTSAS berwajah baharu 2022

LTSAS bakal berwajah baharu apabila semua kerja pemodenannya dijangka siap pada tahun 2022
LTSAS bakal berwajah baharu apabila semua kerja pemodenannya dijangka siap pada tahun 2022
A
A
A

IPOH - Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) bakal berwajah baharu apabila semua kerja pemodenannya dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, antara pemodenan yang dibuat adalah menambah baik serta memperbesarkan terminal berlepas yang juga terminal ketibaan penumpang sedia ada.

Menurutnya, pemodenan itu akan turut melibatkan penstrukturan semula landasan dengan memanjangkannya daripada 2 hingga 3 kilometer.

"Pemodenan ini juga akan menyaksikan kewujudan aerobridge sebagai kemudahan kepada penumpang dan dapat mengelak daripada hujan dan panas. Kita juga akan asingkan ketibaan dan pelepasan penumpang yang sebelum ini tertumpu di kawasan sama

"Selain itu lokasi imigresen serta bagasi juga akan kita modenkan selaras dengan pembangunan terminal ini, yang akan turut menempatkan perniagaan dan restoran antarabangsa," katanya di sini tadi.

Mohamad Nizar berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Iftar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang turut dihadiri Setiausaha Bandaraya, Zakuan Zakaria di Masjid Raja Nazrin Shah, Kampung Rapat Jaya.

Menurutnya, LTSAS yang dijangka siap pada 2022 itu akan dapat menerima penerbangan pesawat Airbus 330 dari sekitar rantau Asia seperti India, Bangkok, Hong Kong dan Manila.

"Usaha pemodenan LTSAS itu dilihat lebih cepat dan murah untuk dilaksanakan berbanding pembinaan sebuah lapangan terbang terbang yang baharu. Nak buat lapangan terbang baru sekurang-kurangnya kena ada tanah dan lesen.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, perlukan masa sekurang-kurangnya tujuh tahun untuk disiapkan. Jadi kita buat keputusan lebarkan dan panjangkan sahaja landasan sedia ada," katanya.

Sementara itu, Mohamad Nizar yang juga Adun Sungai Rapat berkata, satu pasukan petugas khas (task force) induk yang memiliki kepakaran berhubung pemodenan lapangan terbang sudah dibentuk baru-baru ini.

"Pembentukan pasukan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) baru-baru ini dan saya diberikan kepercayaan untuk mengetuainya. Pasukan itu sedang berbincang untuk melantik kontraktor bersesuaian bagi melaksanakan kerja pemodenan ini.

"Saya akan dibantu oleh dua rakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu dan Exco Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan, Paul Yong Choo Kiong dan Tan Kar Hing," katanya.

Menurutnya, petugas khas itu itu akan mengadakan mesyuarat kali pertama pada 14 Mei ini.