Sweden catat kes bankrap tertinggi dalam sedekad

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

STOCKHOLM - Sebanyak 3,949 syarikat jatuh muflis di Sweden dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, tertinggi dalam sedekad, lapor Xinhua memetik Televisyen Sweden (SVT) pada Selasa.

Lebih 28,000 hilang pekerjaan akibat kebankrapan dalam tempoh itu, kata SVT, memetik statistik terkini agensi rujukan perniagaan dan kredit UC.

UC berkata hotel dan restoran merupakan sektor yang paling terjejas, terutama pada Mei dan Jun apabila jumlah kebankrapan adalah 90 peratus lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2022.

Ahli ekonomi UC, Johanna Blome, berkata memandangkan industri perhotelan dan restoran adalah industri intensif buruh, ini menyebabkan lebih banyak kebankrapan, pengangguran meningkat dan penggunaan berkurangan.

Walaupun industri perhotelan paling teruk terjejas, jumlah kebankrapan juga meningkat membabitkan semua industri utama.

Di Stockholm, jumlah kebankrapan meningkat 23 peratus berbanding enam bulan pertama 2022.

Blome berkata sebab utama di sebalik peningkatan kebankrapan ialah peningkatan kos akibat inflasi.

Menurut angka terkini yang dikeluarkan oleh Statistics Sweden pada 14 Julai, inflasi berada pada 9.3 peratus tahun ke tahun pada bulan Jun.

Sementara itu, penasihat perniagaan di wilayah Ostergotland, Ingela Gullstrand, memberitahu SVT bahawa perniagaan terpaksa berhadapan dengan kos lain selain inflasi yang tidak mereka hadapi tahun lepas.

"Banyak syarikat menerima penangguhan cukai semasa pandemik (Covid-19) dan cukai tersebut kini mesti dibayar, jadi ia adalah sejenis kesan tertunda daripada pandemik," kata Gullstrand. - Bernama