Belum terima surat rasmi gantung keahlian UMNO - Shahelmey

Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan.
Shahelmey ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya tetap berpegang kepada makluman bahawa beliau telah digantung keahlian UMNO selama enam tahun walaupun tidak menerima sebarang surat rasmi mengenainya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, menurut makluman Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin beliau telah digantung.

"Kalau mengikut makluman yang dinyatakan oleh Datuk Bung, keahlian saya digantung enam tahun, saya pegang pada itu sajalah.

"Secara jujurnya, saya belum menerima sebarang surat. Jadi boleh tanya Datuk Bung," katanya sambil berseloroh kepada pemberita di sini pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai status beliau di dalam UMNO ketika ini selepas diumumkan digantung pada 14 Mei lalu.

Ditanya lanjut bagaimana beliau akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan status tersebut, Shahelmey menegaskan mahu menumpukan kepada tugasnya terlebih dahulu.

"Lama lagi (PRN), dua tahun lagi. Bertenanglah, kita kerja dulu," katanya.

Sebelum itu, pada 18 Mac lalu, Bung Moktar mengumumkan keahlian Shahelmey dalam UMNO digantung selama enam tahun.

Keputusan itu dibuat susulan tindakan Shahelmey menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah semasa berlaku kemelut politik pada Januari lalu.

Ketika kemelut berlaku, Shahelmey bersama tiga ADUN UMNO yang lain termasuk Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) bertindak membelakangkan keputusan pimpinan UMNO Sabah yang menarik sokongan daripada Hajiji.

Bagaimanapun, pada 21 Februari lalu, James, Jasnih dan Mohd Arsad mengumumkan keluar daripada UMNO bagi menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).