Bunuh jiran: Warga emas dipenjara 38 tahun

Mohamad Shaharudin terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu mengenakan hukuman penjara selama 38 tahun atas kesalahan membunuh seorang warga emas, tiga tahun lalu.
Mohamad Shaharudin terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Ipoh pada Rabu mengenakan hukuman penjara selama 38 tahun atas kesalahan membunuh seorang warga emas, tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara selama 38 tahun setelah tertuduh didapati bersalah membunuh jirannya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohamad Shaharudin Zakaria pada akhir kes pembelaan.

Dia diperintah menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan iaitu 4 Mei 2020.

Abdul Wahab dalam keputusan penghakimannya berkata, mahkamah telah memberi pertimbangan ke atas penyataan impak mangsa, fakta kes dan keterangan saksi serta hujahan pihak peguam ke atas keputusan yang dibuat.

Menurutnya, pertimbangan diberi ke atas faktor untuk memberatkan hukuman dan meringankan hukuman berlandaskan kepada prinsip undang-undang berkaitan hukuman.

"Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara selama 38 tahun mulai tarikh tangkapan. Tiada hukuman rotan dikenakan kerana tertuduh melebihi 50 tahun," katanya.

Mohamad Shaharudin, 68, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid, 77, di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung dalam daerah Manjung sekitar jam 8 malam pada 3 Mei 2020.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili Peguam M Saravanan.

Seramai 13 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula Ogos 2021.

Sementara itu, suasana prosiding bertukar sayu apabila anak mangsa, Hawa Isa, 48, dibenarkan membuat kenyataan bagi memperjelaskan kesan daripada kesalahan dilakukan tertuduh.

Dengan nada sayu, wanita itu berkata, kejadian itu telah mengganggu emosi mereka sekeluarga apatah lagi kes berlaku ketika bulan Ramadan selain berdepan cemuhan orang ramai yang salah faham dengan kejadian tersebut.

"Semasa kejadian itu baharu berlaku, orang kampung cakap dan tuduh mak macam-macam walaupun mak tidak bersalah.

"Saya harap apa yang berlaku pada mak, apa yang dia buat dengan jerut dan pijak mak, mendapat hukuman yang setimpal," katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki bertindak luar kawalan dengan memukul dan memijak wanita warga emas hingga maut sebelum membuang mayatnya dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan.

Kejadian yang dipercayai berlaku akibat pertengkaran itu disedari selepas polis menerima laporan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar berseorangan dengan motosikal pada jam 10 pagi.

Mayat wanita itu berjaya ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam pada jam 2 pagi pada 4 Mei 2020.