Tiada sekatan mahasiswa balik mengundi - Khaled Nordin

Khaled Nordin
Khaled Nordin
A
A
A

BACHOK - Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tiada sekatan untuk mahasiswa pulang mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini kerana tiada peperiksaan dijalankan pada hari tersebut.

Beliau berkata, setakat ini hanya dua universiti yang masih belum tamat peperiksaan iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Tarikh peperiksaan sudah lama ditetapkan. Kebetulan PRN jatuh pada Sabtu dan hari tersebut tiada peperiksaan dijalankan.

"Lagipun PRN kali ini hanya melibatkan enam buah negeri sahaja, bukan semua," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum itu, beliau hadir merasmikan Majlis Perasmian Inkubator Keusahawanan, Pusat Penyelidikan dan Hospital Pengajar Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini.

Hadir sama, Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Razli Che Razak.

Menurut beliau, pelajar dari tujuh negeri lain mahu peperiksaan diteruskan dan isu tersebut tidak perlu dibangkitkan.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Sebelum ini, media melaporkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) antara universiti yang terkesan dengan penetapan tarikh pengundian pada 12 Ogos oleh SPR bagi enam PRN.

UUM memulakan peperiksaan bermula hujung bulan ini sehingga pertengahan Ogos depan, manakala UMP mengadakan pengambilan baharu bagi pengajian peringkat diploma universiti itu ketika PRN berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Tiada universiti terlibat peperiksaan pada hari mengundi

PRN: KPT pertimbang pelajar IPT cuti pulang mengundi

PRN: Bas percuma untuk pelajar IPT Kelantan balik mengundi

IPTA beri pelepasan pelajar balik mengundi