PRN: Tiada universiti terlibat peperiksaan pada hari mengundi

Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Hulu Terengganu pada malam, Rabu. - Foto Bernama
Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Hulu Terengganu pada malam, Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tiada universiti terlibat peperiksaan semasa tarikh pengundian pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan berikutan kebanyakan universiti telah selesai menjalani peperiksaan pada tempoh berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hanya dua universiti yang masih menghadapi peperiksaan, namun tiada ujian diadakan pada tarikh pengundian tersebut.

"Pada hari mengundi kebanyakan universiti sudah habis peperiksaan. Jadi memang tengah cuti ketika itu.

"Hanya dua universiti yang ada peperiksaan tapi tidak diadakan pada hari Sabtu (12 Ogos).

"Pada masa sama, PRN hanya libatkan enam negeri manakala tujuh lagi negeri tak ada pilihan raya. Jadi ramai pelajar memberi pandangan bahawa peperiksaan sewajarnya perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu di Plaza Rahmat OKB, Kuala Berang pada malam, Rabu.

Pada 5 Julai lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya memutuskan bahawa PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

Sebelum ini media melaporkan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) antara universiti yang terkesan dengan penetapan tarikh pengundian pada 12 Ogos oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi enam PRN.

UUM memulakan peperiksaan bermula hujung bulan ini sehingga pertengahan Ogos depan manakala UMP mengadakan pengambilan baharu bagi pengajian peringkat diploma universiti itu ketika PRN berlangsung.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kebanyakan pelajar sudah berada di kampung halaman masing-masing pada masa ini berikutan sudah menghabiskan peperiksaan dan sedang menjalani cuti semester.

Sementara itu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, senarai nama calon BN yang akan bertanding pada PRN nanti akan diumum pada 21 Julai depan termasuk calon untuk Pilihan Raya Kecil Terengganu.

"Mengenai agihan kerusi Pakatan Harapan-BN di enam negeri pula kalau ada pun saat-saat akhir ini ada satu hingga dua kerusi (belum selesai).

"Lain semua dah selesai...95 peratus sudah selesai (agihan kerusi)," ulasnya.