'Maklumkan saya terus isu air, siang malam pun boleh' - Shahelmey

Shahelmey ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan.
Shahelmey ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Rakyat Sabah boleh membuat aduan terus kepada Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berhubung masalah air yang dihadapi di kawasan masing-masing.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, rakyat boleh berhubung terus kepadanya untuk membuat aduan lokasi atau perumahanm yang mengalami gangguan bekalan air.

"Saya amat alu-alukan maklum balas daripada bawah terhadap mana-mana kawasan yang masih mengalami masalah air dan seperti yang kita ketahui bahawa catuan air memang masih berjalan disebabkan air terawat yang kita hasilkan adalah tidak mencukupi berbanding permintaan sedia ada.

"Kita juga kena teliti satu persatu masalah yang dihadapi dan sebab itu saya maklumkan tadi sekiranya ada laporan atau aduan masalah air boleh maklumkan terus kepada saya pun boleh. Siang dan malam dan saya akan maklumkan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk melihat kawasan yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas beberapa daerah di Sabah masih mengalami masalah air termasuk dilakukan catuan.

Sebelum itu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut isu bekalan air yang diterima penduduk di Sandakan masih masin, Shahelmey menjelaskan bahawa setiap hari beliau menerima laporan bahawa indeks air yang dihasilkan semakin menurun tahap kemasinannya.

"Kalau tidak silap semalam (Selasa), saya menerima laporan indeks 212 unit bahagian per juta sudah. Tetapi mungkin air yang masih terkumpul di tangki-tangki simpanan individu.

"Jadi sekali lagi saya minta kawasan yang tiada air atau mempunyai masalah, nyatakan secara spesifik di mana tempatnya kerana setiap tempat ada masalah yang berbeza," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan peruntukan RM300 juta yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan, Shahelmey sekali lagi menjelaskan bahawa agihan peruntukan belum diterima.

"Ia belum diterima lagi, tetapi kita akan desak untuk agihan peruntukan ini. Mesyuarat teknikal antara JANS dengan jabatan Persekutuan untuk tanggani masalah ini sudah ada.

"Petang ini kita ada mesyuarat kabinet, kita akan bincang perkara ini dan bagaimana untuk dilaksanakan sebab kita tidak boleh ambil pendekatan tunggu dan lihat. Tindakan perlu diambil untuk menyelesaikan masalah gangguan air terutama di kawasan pantai timur Sabah," tegasnya.

caption

1. Shahelmey ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Projek Cadangan Menaiktaraf dan Membaik Pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan di pekarangan Majlis Daerah Putatan.