15 Ketua Cawangan Amanah tolak calon DUN Paroi

Kalai Selvan (duduk, kiri) bersama Ketua Cawangan Amanah DUN Paroi dan pemimpin masyarakat DUN Paroi menyatakan bantahan terhadap calon Norwani.
Kalai Selvan (duduk, kiri) bersama Ketua Cawangan Amanah DUN Paroi dan pemimpin masyarakat DUN Paroi menyatakan bantahan terhadap calon Norwani.
A
A
A

SEREMBAN - Selepas kecoh dengan insiden penyokong PKR menolak calon Ampangan, kini kira-kira 15 Ketua Cawangan Amanah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi pula menyatakan bantahan terhadap calon DUN terbabit.

Malah mereka turut memberi isyarat tidak akan keluar mengundi sekiranya Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat dikekalkan sebagai calon di situ.

Ketua Cawangan Amanah Bandar Seremban Selatan, M Kalai Selvan berkata, mereka terpaksa berkeras soal itu kerana kepimpinan parti dilihat tidak mengendahkan suara akar umbi parti yang mahu Mohamad Taufek Abd Ghani dikekalkan sebagai calon.

"Kami memang tak dapat terima Norwani dan sekiranya bukan YB Taufek (Mohamad Taufek Abd Ghani) dipilih sebagai calon, saya tidak akan keluar mengundi.

"Kalau dia (Norwani) yang bertanding DUN Paroi, saya tak tahu macam mana dia nak menang," katanya pada sidang media bantahan calon Amanah DUN Paroi di Bandar Seremban Selatan di sini pada Selasa.

Kalai Selvan
Kalai Selvan

Menurutnya, dia juga tidak kisah dipecat daripada parti disebabkan tindakannya bersuara dan mengadakan sidang media berkenaan.

Tegasnya, apa dilakukan adalah jalan akhir bagi memastikan kepimpinan parti membuat perubahan calon dalam tempoh berbaki empat hari sebelum penamaan calon.

Ketua Amanah Taman Sri Kasih, Mokhtar Hassan turut senada dengan Kalai Selvan dan menjangkakan lebih ramai lagi yang akan mengambil tindakan protes.

"Saya boleh katakan Norwani sebagai seorang ketua yang tidak mengambil berat terhadap Ketua Cawangannya.

"Malah kewibawaannya dalam DUN Paroi tidak memuaskan sedangkan Yb Taufek sudah dikenali dan menunjukkan prestasi baik,"katanya.

Sementara itu pengundi DUN Paroi, Omar Ahmad pula berkata, semestinya akan ada pihak tertentu yang tidak senang dengan sidang media diadakan, tetapi ia adalah ruang yang mereka ada untuk meluahkan kekecewaan.

"Lagi pun kita nak masuk pilihan raya, semestinya kita nak menang," katanya.