Perak mahu tambah pusat pengeluaran benih ikan

Mohd Zolkafly (kiri) meninjau penternakan ikan sangkar di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di Pasir Salak pada Selasa.
Mohd Zolkafly (kiri) meninjau penternakan ikan sangkar di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di Pasir Salak pada Selasa.
A
A
A

PASIR SALAK - [KEMAS KINI] Kerajaan negeri Perak akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi meningkatkan pengeluaran benih ikan air tawar di negeri ini.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, terdapat empat pusat pengeluaran benih ikan air tawar milik kerajaan di negeri ini iaitu di Tapah, Kuala Kangsar, Manjung dan Hulu Perak.

Menurutnya, pengeluaran benih ikan air tawar wajar dipertingkatkan bagi memenuhi permintaan penternak ikan air tawar yang tinggi ketika ini.

"Permintaan terhadap benih ikan ketika begitu tinggi disebabkan penternak ikan sangkar yang kian bertambah. Maka sudah tentulah dari segi keperluan anak benih ikan ini amat diperlukan.

"Jadi saya berharap pihak kerajaan melalui kementerian dan juga jabatan berkaitan akan mengambil inisiatif ini dengan segera," katanya kepada pemberita di Institut Agro Usahawan (IGROW), Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini pada Selasa.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke daerah Perak Tengah bagi meninjau usahawan pertanian seperti pengusaha ikan sangkar, penternak dan pengusaha industri kecil dan sederhana di daerah tersebut.

Mohd Zolkafly berkata, menerusi lawatan tersebut beberapa isu dibangkitkan oleh pengusaha pertanian antaranya termasuklah isu benih ikan sukar diperoleh selain harga makanan ikan yang terlampau tinggi.

"Saya telah berbincang dengan pegawai Jabatan Perikanan daerah dan ada beberapa inisiatif yang boleh dibantu untuk penternak mendapatkan palet, makanan bagi ikan-ikan itu dengan cara kita membeli secara pukal daripada pembekal-pembekal. Ini akan dapat mengurangkan kos kepada nelayan-nelayan kita untuk membeli dengan harga yang rendah sedikit.

"Kita juga melalui jabatan telah mengemukakan cadangan untuk penggantian sangkar-sangkar yang lama dan begitu juga dengan bantuan subsidi untuk makanan ikan, palet. Perkara ini telah dikemukakan kepada pihak kementerian," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan harga ikan air tawar ketika ini dalam keadaan terkawal namun ia memberikan pulangan yang baik kepada pengusaha.

Pada lawatan itu juga, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek turut menyerahkan Memorandum Pembangunan Sosioekonomi Generasi Baharu kepada Mohd Zolkafly.