KIIC 2023 kini dibuka

KIIC 2023 dianjurkan bermula 25 Julai hingga 4 September 2023. (Gambar kecil: Amirul Feisal)
KIIC 2023 dianjurkan bermula 25 Julai hingga 4 September 2023. (Gambar kecil: Amirul Feisal)
A
A
A

KHAZANAH Nasional Berhad (Khazanah) mengumumkan penganjuran kali kedua Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KIIC) 2023 bertemakan Menangani Cabaran Iklim demi Keterjaminan Makanan di Malaysia bermula 25 Julai hingga 4 September depan.

Khazanah dalam satu kenyataan memaklumkan, KIIC adalah cabaran perniagaan sejajar dengan objektif penciptaan nilai Dana Impak Khazanah bagi menangani permasalahan yang meluas dan memacu daya tahan ekonomi serta potensi pertumbuhan untuk negara.

“Tema cabaran tahun ini mewakili kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim dan potensi ancaman terhadap keterjaminan makanan. Perubahan iklim menimbulkan ancaman yang nyata terhadap sektor agrimakanan seluruh dunia.

“Kemarau yang berpanjangan, gelombang haba, hujan lebat dan banjir telah menjejaskan pengeluaran makanan merentasi benua, mengakibatkan penurunan hasil tanaman dan kemusnahan terhadap ternakan dan stok makanan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) mengunjurkan lima hingga 32 peratus penurunan hasil tanaman disebabkan perubahan iklim menjelang 2050, disulitkan lagi dengan anggaran peningkatan 60 peratus permintaan global bagi makanan menjelang tahun yang sama disebabkan pertumbuhan penduduk, seperti digambarkan dalam model oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

“KIIC 2023 kini membuka permohonan daripada perniagaan Malaysia berimpak tinggi berpenyelesaian yang inovatif dan berdaya maju secara komersial untuk menangani cabaran perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Permohonan dalam talian dibuka bermula 25 Julai sehingga 4 September 2023, ia dianjurkan oleh Khazanah di bawah inisiatif Dana Impak, komitmen RM6 bilion untuk tempoh lima tahun.

KIIC 2023 berhasrat untuk menarik syarikat pemula agrimakanan yang inovatif dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang aktif dalam menangani permasalahan yang timbul daripada kesan perubahan iklim terhadap sektor agrimakanan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Dana Impak berbesar hati kerana dapat mempertemukan pemegang taruh daripada pelbagai sektor untuk meneroka peluang kerjasama dan memanfaatkan kepelbagaian bakat serta kepakaran dalam kalangan syarikat pemula Malaysia dan PMKS dalam sektor agrimakanan.

“Oleh kerana perubahan iklim kian mengancam keterjaminan makanan negara, usaha ini diharap dapat menawarkan sokongan diperlukan dan sebuah platform berjangkauan luas bagi menarik modal untuk menjana penyelesaian yang inovatif dan mampan, sejajar dengan strategi jangka panjang kami iaitu Memajukan Malaysia.

“KIIC 2023 dianjurkan bersama dengan rakan kongsi program kami, Plug and Play, rakan-rakan jangkauan Impact Circle dan MYStartup oleh Cradle Fund dan rakan-rakan kongsi pendanaan Gobi Partners, 500 Global dan Agrobank,” kata Amirul.

Beliau berkata, cabaran itu bagi mencari penyelesaian inovatif seperti sumber makanan haiwan alternatif, baja alternatif, teknologi perladangan, pembiayaan dan penyelesaian rantaian bekalan untuk meningkatkan kecekapan serta produktiviti dalam industri agrimakanan.

“Seramai 10 finalis KIIC akan menerima sehingga RM500,000 setiap satu dalam bentuk geran dan berpeluang mengemukakan cadangan bagi menarik potensi pelaburan ekuiti daripada Khazanah dan rakan-rakan pendanaannya,” ujarnya.

Pertandingan itu terbuka kepada semua entiti perniagaan yang berpangkalan di Malaysia.

Pemohon yang disenarai pendek akan menerima jemputan untuk Hari Demo dan finalis akan diumumkan pada Oktober ini.