Pereka grafik didakwa bunuh teman wanita

Sean Edward dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa atas tuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya, dua minggu lalu.
Sean Edward dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa atas tuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya, dua minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pereka grafik tempatan kacukan Kanada didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan kematian teman wanitanya, dua minggu lalu.

Sean Edward Kenneth Quinn, 30, yang memakai baju T berwarna putih mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu, di hadapan Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa atas satu pertuduhan menyebabkan kematian Nurin Najmina Mohd Radzuan, 24, di unit kondominium di Jalan Damansara, Bukit Kiara di sini, pada jam 3 pagi, 12 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan manakala tertuduh diwakili peguam, Vivek Sukumaran.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 September depan.