Dewan Negara lulus RUU Perbekalan Tambahan sebanyak RM4.133 bilion

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2018) 2019 sebanyak RM4.133 bilion dengan suara majoriti, selepas bacaan kali ketiga.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua berkata perbelanjaan tambahan itu dimohon antara lain untuk kegunaan peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun sebanyak RM1.92 bilion.

Selain itu, peruntukan berkenaan adalah bagi kegunaan Kementerian Kesihatan sebanyak RM705.6 juta, Kementerian Dalam Negeri (RM513.9 juta), Kementerian Pendidikan (RM300 juta), Kementerian Pertahanan (RM226.2 juta) dan Kementerian Luar Negeri sebanyak (RM70.4 juta).

Ia juga diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM215.4 juta, Suruhanjaya Pilihan Raya (RM98.5 juta), Perbendaharaan (RM76.3 juta), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (RM5 juta).

Turut diluluskan ialah tiga lagi RUU iaitu RUU Kastam (Pindaan) 2019 yang antara lain memfokuskan kepada penambahbaikan prosedur pembayaran duti kastam, surcaj, penalti dan fi.

Selain itu RUU Eksais (Pindaan) 2019 yang antara lain bertujuan meningkatkan penguatkuasaan pegawai eksais dan amaun penalti bagi kesalahan di bawah Akta Eksais 1976, manakala RUU Akta Zon Bebas (Pindaan) 2019, membabitkan peruntukan penalti untuk menghalang penyalahgunaan serta penyelewengan kemudahan dan prosedur kastam di zon bebas.

Persidangan bersambung esok. -Bernama

Artikel Berkaitan: