Budayakan semula amalan membaca - Hussamuddin

Husamuddin (duduk, dua dari kiri) bergambar dengan 80 orang guru yang menghadiri Bengkel PSS dan Nadi Ilmu Amalan Membaca di Dewan Karangkraf pada Isnin.
Husamuddin (duduk, dua dari kiri) bergambar dengan 80 orang guru yang menghadiri Bengkel PSS dan Nadi Ilmu Amalan Membaca di Dewan Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk membudayakan semula amalan membaca dengan mewujudkan lebih banyak program bacaan sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau kebangsaan.

Ketua Pasukan Rasuah Buster, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, langkah itu perlu dimulakan dengan kesedaran kepada pengkarya untuk menghasilkan naskhah bersifat mesra pembaca.

“Kebelakangan ini jumlah jualan buku semakin merudum disebabkan kebanyakan karya ‘syok sendiri’ sehingga pembaca tidak dapat memahami inti pati yang mahu disampaikan.

Suasana majlis perasmian Bengkel Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di Dewan Karangkraf pada Isnin.
Suasana majlis perasmian Bengkel Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di Dewan Karangkraf pada Isnin.

“Jadi tugas kita adalah untuk memastikan penulis-penulis buku menghasilkan karya yang menggunakan bahasa mudah untuk difahami supaya pembaca tidak tertekan dan boleh menjadikan aktiviti membaca sebagai budaya,” katanya sewaktu perasmian Bengkel Pusat Sumber Sekolah (PSS) dan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) di Dewan Karangkraf, pada Isnin.

Tambah Hussamuddin, membudayakan semula amalan membaca secara tidak langsung melahirkan generasi yang memahami keburukan rasuah.

Beliau berkata, setiap karya mempunyai nilai tersendiri yang boleh diterapkan dalam diri untuk membentuk kemahiran insaniah dan jati diri.

“Apabila orang ramai mula membudayakan amalan membaca, mereka terdedah kepada pengetahuan umum contohnya tentang bahaya rasuah dan sekali gus menerapkan nilai-nilai yang ada untuk perangi masalah berkenaan,” ujarnya.

Pada majlis tersebut turut disampaikan Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan kategori guru kepada Norafizah Abdul Razak dan Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu, Jerantut, Pahang sebagai penerima anugerah khas kategori sekolah.

Norafizah
Norafizah

Sementara itu, Norafizah menjelaskan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan satu amanah yang perlu dipikul untuk menyebar luas tentang bahana rasuah melalui pembacaan.

Menurutnya, penganugerahan tersebut juga membuktikan bahawa konsep pusat sumber sekolah memainkan peranan penting dalam membangunkan nilai dan tamadun bangsa.

“Sebenarnya anugerah ini bukanlah matlamat utama sebaliknya tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk membantu menangani rasuah melalui sistem pendidikan,” katanya.