Penyokong bola sepak patah hidung dipukul pada final Piala FA

Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang penyokong bola sepak ditahan pihak pasukan keselamatan semasa perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Tangkap layar video tular yang memaparkan seorang penyokong bola sepak ditahan pihak pasukan keselamatan semasa perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A
ISKANDAR PUTERI - Seorang penonton membuat laporan polis selepas cedera hingga patah hidung akibat dipukul semasa menonton perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.

Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi di Kuala Lumpur pada pada jam 11.50 pagi Ahad.

"Mangsa mengesyaki dipukul oleh Johor Military Force (JMF).

"Mangsa telah pulang ke Kuala Lumpur dan mendapat rawatan, seterusnya ditahan di wad Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Keadaan mangsa baik dan stabil.



"Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan patah hidung, pendarahan di kepala dan mata kanan serta lebam seluruh badan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kes dalam siasatan dan orang ramai yang melihat kejadian dikehendaki tampil ke bahagian siasatan jenayah IPD Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 kanun keseksaan (cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda lain yang berbahaya).