Salahuddin fokus, berwawasan digelar 'Menteri Rahmah'

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Aminolhuda
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Aminolhuda
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan menyifatkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, memberi tumpuan yang sangat baik dalam isu harga barang keperluan sehingga rakyat menggelarnya 'Menteri Rahmah'.

Ahli Parlimen Sri Gading itu memberitahu, selepas dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin telah berusaha penuh amanah menjaga keperluan barang-barang asas untuk kehidupan rakyat khasnya B40.

"Kau (Salahuddin) telah berusaha dengan penuh amanah dan bersungguh-sungguh melihat, meninjau dan menyelidik ke seluruh negara untuk memastikan barang-barang keperluan ini dapat dirasai oleh rakyat dengan harga yang berpatutan.

"Tumpuan dan fokus kerja yang sangat baik, berwawasan dan pantas menyebabkan rakyat mengelar mu 'Menteri Rahmah'," katanya dalam catatan di Facebook rasminya pada Isnin.

Menyingkap perjalanan karier politik, Aminolhuda berkata, perjalanan politik Salahuddin bermula dari Pas sebelum menubuhkan Amanah.

"Kita telah bersama membawa dan membina perjuangan Islam di bumi Johor seawal tahun 1983. Bintang kepimpinan mu semakin menyerlah selepas menjawat Ketua Pemuda Pas Johor dan aku sebagai Naib Ketua waktu itu (1993) iaitu jawatan kedua dalam hairaki kepimpinan Pemuda Pas waktu itu.

"Terlalu banyak saat gembira dan duka kita hadapi bersama untuk memperkenalkan Pas dalam Masyarakat Melayu UMNO di bumi kelahiran UMNO. Tetapi akhirnya kita bersama-sama keluar meninggalkan Pas lalu menubuhkan Amanah bermula di Markas Pas Bakri dan Delegasi di Hotel Trader Muar pada 2015.

"Kita bersama menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan rakan PH Bersatu yang keputusannya amat mengejutkan seluruh negara buat pertama kalinya BN tumbang dan PH Bersatu menubuhkan kerajaan. Kau dilantik sebagai Menteri Pertanian bagi kerajaan PH pimpinan Tun Mahathir" katanya.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia pada 9.23 malam Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

Pada Jumaat, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia

'Berehatlah sahabatku...' - Anwar

Suasana pilu selubungi ketibaan jenazah Salahuddin

Belangsungkawa Datuk Seri Salahuddin Ayub

Jenazah Salahuddin selamat disolatkan di Masjid Al-Badar

Jenazah Salahuddin dikebumi di Pontian tengah hari Isnin

Jenazah Salahuddin akan disembahyangkan di Masjid Al-Badar

Salahuddin aktif pastikan tiada kenaikan harga barang - Mat Sabu

Salahuddin rakan baik, budiman - Sanusi

Pesawat khas bawa pulang jenazah Salahuddin ke Johor Bahru

Jenazah Salahuddin akan dikebumikan di Tanjung Piai