Carilah modal lain untuk berkempen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SELANGOR, Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bakal menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Calon ataupun parti mempunyai lebih kurang dua minggu untuk berkempen selepas penamaan calon pada 29 Julai.

Semestinya semasa berkempen, pelbagai manifesto, tawaran dan juga pendedahan dilontarkan oleh parti-parti politik yang bertanding bagi meraih sokongan rakyat.

Bagaimanapun, masih ada juga beberapa pemimpin berucap secara tidak profesional apabila sengaja membangkitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Dalam keghairahan berkempen, ahli politik janganlah sesekali membangkitkan isu tersebut sehingga melanggar undang-undang dan mencabar perlembagaan.

Meskipun perkara tersebut merupakan antara taktik meraih undian, namun ia adalah satu permainan kotor yang akhirnya membawa kepada perpecahan rakyat.

Baru-baru ini di media sosial sedang berlegar-legar dan masih panas dengan isu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang ditahan di sebuah hotel pada jam 3 pagi.

Beliau didakwa di mahkamah mengikut Akta Hasutan susulan ucapan beliau dikatakan mempersendakan titah Sultan Selangor, berkaitan pelantikan menteri besar.

Meskipun Muhammad Sanusi berkata ucapan tersebut diputar belit, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan telah menerima 31 laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan berkenaan.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut disiasat berkaitan kenyataannya yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan oleh negara Barat.

Selain itu, PDRM juga mengesahkan menerima beberapa laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dipercayai menyentuh isu 3R.

Guan Eng disiasat selepas mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang ketika berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore-Malaysia’.

Sebagai ahli politik yang dipilih mewakili rakyat, elakkan kenyataan-kenyataan provokatif itu keluar dari mulut mereka.

Ikut undang-undang dan perlembagaan negara. Hayati Rukun Negara. Rukun Negara diperkenalkan berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang mengganggu-gugat perpaduan etnik di Malaysia.

Tragedi 13 Mei 1969 berpunca daripada kempen pilihan raya yang menimbulkan isu perkauman sensitif. Percayalah, sekiranya Rukun Negara diamalkan dengan baik, diamalkan dengan cara mengikuti prinsip-prinsipnya untuk mencapai segala matlamat Rukun Negara, Malaysia pasti akan menjadi lebih baik.

Cukup-cukuplah 13 Mei menjadi titik hitam dalam sejarah negara. Adakah kita ingin mengulangi semula peristiwa sejarah pahit tersebut?

Berdasarkan undian yang dilakukan oleh Sinar Harian di laman Twitter, sebanyak 87 peratus daripada mereka bersetuju ia diwujudkan bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu tersebut.

Dalam masa sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta PDRM akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan satu unit khas bagi meneliti kes berkaitan isu 3R yang sering dimainkan semasa tempoh pilihan raya.

Menurut Fahmi, hasil data yang dikeluarkan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ia dilihat sebilangan besar isu tersebut dimainkan dalam tempoh singkat.

Prinsip Rukun Negara perlu benar-benar dipasakkan dalam diri semua orang termasuk ahli politik bagi membawa negara ke arah negara Madani, bangsa yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan, berbudi serta penyayang.

Sudah-sudahlah mempermainkan isu 3R yang hanya bertujuan menghasut rakyat.

Carilah modal politik baharu yang memanfaatkan dan membangunkan negara. Pelihara dan cintailah keharmonian yang wujud dalam negara ini.

Janganlah kita tersangkut pada masalah perpaduan sehingga agenda nasional yang lebih besar tidak dapat diselesaikan dan akhirnya misi membangun tamadun negara bangsa terencat.

*Nazrin Zulkafli ialah wartawan Sinar Harian.