11,000 pekerja p-hailing terima bantuan RM500, caruman KWSP RM50

Amirudin bergambar bersama tetamu jemputan dan pekerja p-Hailing pada sesi dialog Temu Anwar Selangor X Belia P-Hailing di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada Sabtu.
Amirudin bergambar bersama tetamu jemputan dan pekerja p-Hailing pada sesi dialog Temu Anwar Selangor X Belia P-Hailing di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 11,000 pekerja perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di negeri ini menerima inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri peka dan prihatin dalam memastikan kebajikan golongan peserta p-hailing ini terjaga.

"Menerusi Ride, kerajaan Selangor memberikan wang tunai sebanyak RM500 dan RM50 melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setiap seorang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Amirudin berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil berat kebajikan pekerja p-hailing menerusi dialog yang diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Laman Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada Sabtu.

Ujar beliau, pada pertemuan dihadiri 5,000 pekerja itu juga, banyak perkara perlu diteliti untuk membantu sektor berkenaan.

"Beliau (Perdana Menteri) mengumumkan peruntukan awal RM1 juta untuk mewujudkan sekretariat bagi menyelaras pengurusan dan mengawal selia perkhidmatan p-hailing," jelas beliau

Selain itu, Amirudin memberitahu, Anwar juga akan bertemu dengan semua syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah khidmat pengambilan dan penghantaran.