Pasangan pengantin teruja majlis persandingan dihadiri PM

Anwar (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pengantin bagi Program Jom Kahwin pada Program Sentuhan Kasih Desa Madani Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar (tiga dari kiri) beramah mesra bersama pengantin bagi Program Jom Kahwin pada Program Sentuhan Kasih Desa Madani Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Tiga pasangan pengantin Orang Asli suku kaum Temiar mencipta kenangan terindah apabila persandingan mereka diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Along Uda, 30, bersama pasangannya, Norzulaikha Nubi @ Zulkifli, 24, merupakan antara 20 pasangan mempelai yang diraikan sempena Program Jom Kahwin pada program Sentuhan Kasih Desa Madani Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2, pada Ahad.

Along berkata, dia dan pasangan bernikah pada September tahun lepas dengan perbelanjaan sebanyak RM4,000 di kampung mereka di Pos Hendropp.

"Kami hanya mampu meraikan tetamu dengan mengadakan kenduri secara kecil-kecilan sahaja.

Pasangan pengantin Orang Asli suku kaum Temiar yang diraikan sempena Program Jom Kahwin pada program Sentuhan Kasih Desa Madani Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama
Pasangan pengantin Orang Asli suku kaum Temiar yang diraikan sempena Program Jom Kahwin pada program Sentuhan Kasih Desa Madani Negeri Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama

"Hari ini kami dapat merasakan pengalaman berpakaian pengantin lengkap, disolek, bersanding di atas pelamin, mengadakan jamuan dengan meriah dan juga ada jurugambar yang merakam detik-detik istimewa ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini pada Ahad.

Bagi pasangan Wahid Ismail, 17, dan Rosnani Ahmad, 19, dari Kuala Betis, majlis persandingan yang ditaja Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) banyak membantu dirinya berjimat cermat.

"Saya dan pasangan juga menerima khidmat nasihat pengurusan keluarga secara percuma,” katanya.

Pasangan Herry Samad, 19, dan Leyoi Along, 22, turut senada dan berterima kasih kepada pihak Kemas.

"Terima kasih kepada pihak Kemas yang prihatin terhadap kebajikan kami golongan B40, dengan pendapatan saya bekerja sebagai penoreh getah memang tidak mampu mengadakan majlis meriah sebegini,” katanya.

Pada program tersebut, Kemas telah memperuntukkan sebanyak RM42,000 bagi membantu pasangan pengantin yang berpendapatan bawah RM4,850 supaya terlepas bebanan hutang untuk menganjurkan majlis perkahwinan.

Majlis berkenaan melibatkan 20 pasangan yang mewakili 15 pasangan Melayu dan lima pasangan Orang Asli, malah pasangan yang menyertai program tersebut akan menerima khidmat nasihat pengurusan keluarga daripada konsultan bertauliah yang dibiaya sepenuhnya oleh Kemas. - Bernama