Calon lambat 'panas' akan ditarik watikah pelantikan - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menerima watikah pelantikan untuk bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diingatkan bergerak pantas memulakan kempen.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli berkata, calon yang lambat menghidupkan 'enjin' kempen berdepan watikah pelantikan mereka ditarik.

Beliau akan mengejar calon dan jentera pilihan raya bagi memastikan aktiviti dan kempen yang pelbagai dilaksanakan setiap hari serta mencukupi untuk menarik undi.

"Kalau dalam tempoh seminggu ini jika saya dapati mereka yang dicalonkan ini lambat mula enjin, saya sendiri akan jumpa presiden untuk tukar pencalonan.

"Sebab itu kita umum awal untuk pastikan jangan berulang cerita dulu-dulu, masa nak jadi calon lobinya sampai ke langit tetapi apabila sudah jadi calon, dia menjadi raja sebelum menang.

"Kepada jentera di luar, jika ada calon seperti ini maklumkan kepada saya," katanya pada Program Pengumuman Calon PKR di Seksyen 7 di sini pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, pemilihan calon dijalankan secara teliti dan berperingkat bagi memastikan ia melalui proses yang terbuka serta telus.

Ujarnya, pencalonan dibuka kepada semua, pada masa sama peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) serta sayap pemuda dan wanita turut mengemukakan pencalonan masing-masing.

"Kali ini kita tetapkan setiap pencalonan mesti datang bersama minit (mesyuarat) supaya ada pemisahan daripada cabang, MPN dan sayap.

"Jawatankuasa calon kemudian akan senarai pendek sekurangnya-kurangnya tiga nama untuk dipertimbangkan presiden," katanya.

Tambah beliau, tapisan berlaku di banyak peringkat namun akhirnya keputusan itu akan diputuskan presiden seperti di dalam Perlembagaan parti.

"Yang penting selepas calon diumumkan, mereka akan tandatangan bon dan isytihar harta seminggu sebelum pencalonan.

"Mana-mana calon yang tidak berbuat demikian, insya-ALLAH tak dapat watikah dan benda ini tidak timbul isu kerana dilaksanakan sejak 2018.

"Jadi kalau ada calon yang hendak kayakan parti, mereka boleh bertanding kemudian cari parti lain. Kami akan saman RM10 juta seperti (Datuk) Zuraida Kamaruddin," katanya.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pada Sabtu mengumumkan sebanyak 58 calon akan bertanding pada PRN enam negeri bulan depan.

Seramai 20 calon adalah di Selangor, enam di Negeri Sembilan, Pulau Pinang (13), Kedah (10), Kelantan (6) dan tiga di Terengganu.

PKR turut mempertaruhkan Mohd Azan Ismail sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi itu dikosongkan selepas mahkamah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Pas, Ahmad Amzad Hashim.

Calon PKR PRN Selangor

N09 Permatang: Mohd. Yahya Mat Sahri

N10 Bukit Melawati: Thiban Subramaniam

N11 Ijok: Amidi Abdul Manan

N14 Rawang: Chua Wei Kiat

N16 Sungai Tua: Dato' Seri Amirudin Shari

N18 Hulu Kelang: Juwairiya Zulkifli

N19 Bukit Antarabangsa: Mohd Kamri Kamaruddin

N20 Lembah Jaya: Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet)

N25 Kajang: David Cheong

N32 Seri Setia: Fahmi Ngah

N33 Taman Medan: Ahmad Akhir Paw

N37 Bukit Lanjan: Phua Pei Lei

N38 Paya Jaras: Khairuddin Othman

N39 Kota Damansara: Amin bin Yazid

N40 Kota Anggerik: Najwan Halimi

N43 Sementa: Erni Afrishah Azizi

N46 Pelabuhan Klang: Azmizam Zaman Huri

N48 Sentosa: Gunarajah R George

N49 Sungai Kandis: Zawawi Ahmad Mughni

N54 Tanjong Sepat: Borhan Aman Shah

Calon PKR PRN Pulau Pinang

N3 Pinang Tunggal: Zainuddin Mohd

N6 Telok Ayer Tawar: Mohsin Md Sharif

N10 Seberang Jaya: Johari Kassim

N12 Penanti: Rohsidi Hussin

N14 Machang Bubok: Lee Khai Loon

N17 Bukit Tengah: Gooi Hsiao Leung

N18 Bukit Tambun: Goh Choon Aik

N20 Sungai Bakap: Norhidayah Che Ros

N24 Kebun Bunga: Lee Boon Heung

N35 Batu Uban: Kumaresan Arumugam

N36 Pantai Jerejak: Fahmi Zainol

N37 Batu Maung: Prof Dr. Mohd. Abdul Hamid

N39 Pulau Betong: Mohd Tuah Ismail

Calon PKR bagi Parlimen Kuala Terengganu dan PRN Terengganu

P036 Kuala Terengganu - Azan Ismail

N13 Wakaf Mempelam - Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali

N22 Manir - Mohd Jusoh

N27 Sura - Othman Omar

Calon PKR PRN Kelantan

N3 Pasir Pekan - Damansari ibharim

N7 Panchor - Syed Ali Dustur Syed Mohd Zain

N14 Chetok - Ezzat Hanuzi

N18 Pasir tumbuh - Naziratul Aini Sayuti

N30 Limbongan - Dr Shamsudin Abdul Ghani

N39 Mengkebang - Shukri Ishak