Mekanisme ganti rugi akan diumum segera - Festival Good Vibes

Kenyataan Festival Good Vibes pada Sabtu.
Kenyataan Festival Good Vibes pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mekanisme ganti rugi Festival Good Vibes 2023 (GVF 2023) yang dibatalkan serta-merta, walaupun sepatutnya berlangsung hingga esok, akan diumumkan secepat mungkin.

Menurut kenyataan festival itu, pihaknya memohon maaf kepada semua pemegang tiket, vendor, penaja dan rakan kongsi berikutan pembatalan festival itu susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari United Kingdom Matty Healy daripada kumpulan "The 1975" semasa persembahan di Sepang malam Jumaat.

"Kami menyedari masa, tenaga dan usaha yang anda luangkan untuk menjadikan festival ini satu kejayaan, dan kami menghargai sokongan padu anda. Kami akan mengemas kini mekanisme ganti rugi kepada anda secepat mungkin.

"Kami hargai pemahaman dan sokongan berterusan anda pada masa yang mencabar ini,” menurut kenyataan itu di sini pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu juga, keputusan pembatalan itu dibuat bagi mengikut arahan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital yang dikeluarkan pada 1.20 tengah hari Sabtu.

"Kementerian telah menggariskan pendiriannya yang teguh terhadap mana-mana pihak yang mencabar, mempersendakan atau melanggar undang-undang Malaysia,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki hingga esok dibatalkan serta-merta dan pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.

Fahmi sebelum itu mengadakan pertemuan dengan penganjur festival berkenaan iaitu Future Sound Asia bagi memohon penjelasan berhubung insiden kontroversi oleh artis dari United Kingdom itu ketika membuat persembahan di Litar Antarabangsa Sepang.

Media melaporkan persembahan The 1975 dihentikan selepas vokalisnya didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan

Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan

Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis

Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur

Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi