UMNO kembali tanding DUN Bandar selepas 60 tahun

Armi Irzan
Armi Irzan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO kembali meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu kali ini selepas 60 tahun dikongsi bersama MCA atas dasar semangat perpaduan Barisan Nasional (BN).

Parti itu melakar sejarah tersendiri selepas mengisytiharkan calon bagi DUN berkenaan pada Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Calon yang dipertaruhkan bagi kerusi itu juga merupakan calon muda yang pertama kali bertanding iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd.

Armi Irzan ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak menjangkakan pencalonan tersebut namun bersedia mengalas tanggungjawab dan amanah yang besar atas dasar nama dan perjuangan parti.

"Walaupun ini kali pertama (bertanding) tetapi insya-ALLAH daripada pengalaman bersama parti dan badan bukan kerajaan (NGO), saya yakin mampu untuk membawa agenda dan juga dasar-dasar perjuangan parti.

"Harapan saya sudah semestinya kita mahu selarikan antara kerajaan negeri dan persekutuan sebab tidak mahu Terengganu ketinggalan dan terganggu dari segi pembangunan negeri, bantuan-bantuan rakyat, pendidikan dan sebagainya.

"Saya yakin dengan kita menyelaraskan antara negeri dan persekutuan ia mampu menjana pembangunan lebih baik kepada rakyat keseluruhannya," ujarnya.

Menurutnya, keputusan memberikan DUN Bandar kepada UMNO diputuskan pucuk pimpinan di peringkat pusat kerana beberapa faktor termasuk jurang perbezaan antara jumlah pengundi pelbagai kaum itu telah semakin besar.

"Apabila jurang antara kaum besar jadi mungkin disebabkan faktor itu, kerusi DUN Bandar diberikan kepada UMNO," ujarnya.

Sebagai anak muda tempatan, Armi Irzan dikenali sebagai pemimpin pelapis berasal dari kawasan itu dan sinonim dengan masyarakat setempat.

Berdasarkan statistik jumlah pengundi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Bandar merekodkan seramai 22,057 pengundi terdiri daripada 14,698 (Melayu), 6,951 (Cina), 259 (India) dan selebihnya adalah lain-lain.

Pada Jumaat, BN mengumumkan 107 calon yang akan bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah tersebut merangkumi 62 peratus muka baharu, penyandang DUN (18 peratus) dan pernah bertanding (20 peratus).

Selain Armi Irzan, BN menampilkan seramai 26 lagi calon bagi PRN Terengganu iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Kuala Besut), Datuk Mohammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Mohd Rozaini Rasli (Jertih) dan Datuk Nawi Mohamad (Hulu Besut).

Selain itu, Rosdi Zakria diumumkan sebagai calon bagi kerusi DUN Jabi, Hamdan Hamzah (Permaisuri), Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit), Muhammad Hanafi Hasan (Tepuh) dan Omar Adam (Buluh Gading).

Nama dua bekas Menteri Besar Terengganu yang sebelum ini diramalkan bertanding pada PRN kali ini iaitu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman diumumkan sebagai calon bagi kerusi Seberang Takir dan Datuk Seri Ahmad Said (Kijal).

Selain itu, turut dicalonkan ialah Wan Noorislam Wan Hashim (Bukit Tunggal), Datuk Mohd Sabri Alwi (Ladang), Yuseri Isa (Alur Limbat), Mohd Khan Abd Rahman (Bukit Payung) dan Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Pengkalan Berangan).

Nama lain yang dicalonkan ialah Datuk Rozi Mamat (Telemung), Jalaludin Ismail (Kuala Berang), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Mohd Asri Mohamad (Rantau Abang), Ahmad Abdullah Abd Wahab (Paka), Mohd Khairi Afiq Mohd Yusof (Kemasik), Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin (Cukai) dan Dr Mohd Zaki Salleh (Air Putih).

ARTIKEL BERKAITAN: BN umum 107 calon tanding PRN enam negeri

PRN: Bekas Timbalan Menteri tanding DUN Ajil

PRN: Dua bekas Menteri Besar Terengganu pertahan kerusi DUN