Pemandu bas ekspres maut, 8 penumpang cedera kemalangan

Keadaan bas ekpres yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto BBP Pagoh
Keadaan bas ekpres yang terlibat dalam kemalangan berkenaan. - Foto BBP Pagoh
A
A
A

TANGKAK - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu bas ekspres maut manakala lapan penumpang lagi cedera dalam nahas di Kilometer (KM) 154, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, pada awal pagi Sabtu.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Syukor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan melalui talian MERS999 pada jam 1.09 pagi Sabtu.

Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan berkenaan, dua jentera FRT dari BBP Bukit Gambir dan dibantu BBP Tangkak dengan 16 anggota bomba telah dihantar ke lokasi.

“Setibanya ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah bas ekspres yang membawa 22 penumpang dengan sebuah kereta jenis Mazda.

“Pemandu bas iaitu seorang lelaki dewasa telah tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lapan penumpang mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital berhampiran dengan menggunakan jentera EMRS dari BBP Bukit Gambir dan BBP Tangkak.

“Sementara itu, pemandu kereta jenis Mazda, iaitu seorang lelaki dewasa dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, bomba kemudiannya menyerahkan mangsa yang meninggal dunia kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar jam 2.21 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila bas berkenaan yang membawa 22 penumpang dalam perjalanan dari Terminal Bersatu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menuju ke Pasir Gudang.

Katanya, ketika melalui tempat kejadian (KM 153.9) bas terbabit dipercayai telah terbabas ke kanan jalan dan hilang kawalan lalu terlanggar wire rod yang berada di sebelah kanan bahu jalan.

“Akibatnya, bas tersebut terbabas dan terlanggar besi penghadang jalan hingga menyebabkan pemandu bas tercampak keluar dari bas.

“Pemandu bas terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala lapan lagi penumpang yang cedera dibawa ke Hospital Muar untuk rawatan dan 14 lagi penumpang dilaporkan tidak cedera.

“Kesemua kenderaan terbabit akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan sehingga kini siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.