Mohd Shuhaily hargai sokongan masyarakat, serah proses perundangan kepada mahkamah

Mohd Shuhaily bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar sebelum proses pendakwaan berlangsung di mahkamah Majistret Sepang pada Rabu. - FOTO: Rosli Talib
Mohd Shuhaily bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar sebelum proses pendakwaan berlangsung di mahkamah Majistret Sepang pada Rabu. - FOTO: Rosli Talib
A
A
A

SEPANG - “Saya akan membiarkan proses perundangan berjalan mengikut lunasnya di mahkamah hari ini.”

Demikian kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, susulan pendakwaan terhadap dirinya di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan yang memberikan sokongan dan mendoakan dirinya sepanjang berdepan proses perundangan berkenaan.

“Sebagaimana yang telah saya maklumkan sebelum ini, hari ini adalah proses untuk saya menjalani proses perundangan, sebagaimana yang saya sebut tempoh hari berhubung kes saya.

“Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan menerusi doa dan mesej daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Ini merupakan kenyataan terakhir saya berhubung proses ini. Selepas ini, peguam saya akan memberikan kenyataan bagi pihak saya,” katanya pada sidang akhbar sebelum proses pendakwaan berlangsung.

Terdahulu beliau tiba di Kompleks Mahkamah Sepang jam 7.30 pagi tadi berpakaian kod biru gelap diiringi beberapa pegawai AKPS.

Mohd Shuhaily didakwa atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Sepang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada bulan lalu.

Pada 28 September lalu, tular video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di KLIA.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pada 1 Oktober lalu, beliau menyatakan kesediaannya menerima apa-apa sahaja keputusan atau tindakan.

Semasa sidang akhbar, beliau berkata, tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang, sebaliknya mahu lapangan terbang itu bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan setakat ini sebanyak 25 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!