Lelaki maut, Perodua Alza terbabas

Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa daripada Perodua Alza yang terlibat kemalangan di Jalan Sawah Ring, menghala ke Bukit Gambir, awal pagi Sabtu. - Foto BBP Pagoh
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa daripada Perodua Alza yang terlibat kemalangan di Jalan Sawah Ring, menghala ke Bukit Gambir, awal pagi Sabtu. - Foto BBP Pagoh
A
A
A

TANGKAK - Seorang lelaki maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas di Jalan Sawah Ring, menghala ke Bukit Gambir di sini, awal pagi Sabtu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Farid Mohd Sarjan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS 999 pada jam 1.36 pagi.

“Sejurus menerima panggilan berkenaan, satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Pagoh dengan enam anggota bomba telah dihantar ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah Perodua Alza telah terbabas dan terdapat dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki di dalam kenderaan tersebut. Tiada mangsa tersepit.

“Pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki dewasa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi manakala empat lagi penumpang disahkan selamat,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sekitar 2.46 pagi.