Semarakkan World #QuranHour di Terengganu

Pasukan Rumah Ngaji Terengganu giat mempromosikan World #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Mei depan.
Pasukan Rumah Ngaji Terengganu giat mempromosikan World #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Mei depan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kempen promosi program World #QuranHour di Terengganu kini sedang rancak berjalan, menjelang program berkenaan pada 25 Ramadan ini, bersamaan 30 Mei depan.

Penyelaras Rumah Ngaji Terengganu, Mohd Al-Azahary Abdullah Sani berkata, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pihaknya menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan program itu berjalan lancar.

Menurutnya, setakat ini dua lokasi utama program itu ialah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang.

“Program ini akan berlangsung serentak pada jam 12 tengah hari di seluruh dunia, yang mana para peserta akan berinteraksi selama sejam dengan al-Quran. Tahun ini, kita bertemakan Surah Al-Kahf.

MOHD AL-AZAHARY ABDULLAH SANI
MOHD AL-AZAHARY ABDULLAH SANI

“Kita ingin mengajak semua pihak untuk turut serta menyertai program ini di lokasi masing-masing. Kami di Rumah Ngaji akan bantu pihak yang berminat dengan beritahu bagaimana cara untuk jalankan program ini.

“Beberapa agensi seperti Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) turut menyatakan komitmen untuk menjayakan program ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Jelas Al-Azahary, beberapa sekolah juga akan menyertai program ini, namun diawalkan kepada 23 Mei depan.

Katanya lagi, pihaknya mengharapkan lebih banyak penyertaan khususnya daripada sekolah, masjid, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan serta akan ada hotspot utama di setiap daerah.

“Setiap tahun, Terengganu antara negeri yang mempunyai penyertaan tertinggi. Pada tahun lepas misalnya, kita ada 318,00 peserta, 284,000 peserta (2017) dan 257,000 peserta pada tahun 2016.

“Kita harapkan tahun ini sambutan terhadap World #QuranHour di Terengganu tahun ini lebih meriah.

"Bagi mana-mana pihak yang ingin turut serta, boleh berhubung dengan saya di talian 012-3147221 atau Aziemah (013-9858873),” katanya.