SM St Michael di Sabah miliki perpustakaan digital

Philip (dua dari kanan) meninjau Sir Corner YBR di SM St Michael, Penampang, Sabah.
Philip (dua dari kanan) meninjau Sir Corner YBR di SM St Michael, Penampang, Sabah.
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Menengah St Michael menjadi sekolah pertama di Sabah yang mempunyai perpustakaan digital sendiri, dengan lebih 100,000 kandungan digital yang terdapat di pangkalan data 'Sir Corner YBR (Yayasan Bank Rakyat)'.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, informasi yang berasaskan 80 peratus bahan bacaan digital dan 20 peratus bahan bacaan fizikal itu meliputi jurnal, buku ilmiah, fiksyen, majalah serta akhbar dalam dan luar negara.

Menurutnya, selain menaja program kecemerlangan, YBR juga turut melancarkan 'Sir Corner' bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan-bahan bacaan digital yang bersesuaian dengan komuniti setempat.

“Sir Corner di bawah Perpustakaan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) merupakan inisiatif yang telah dijalankan sejak tahun lepas, bertujuan menyediakan satu ruang yang dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian E-Perpustakaan.

“Kandungan di dalam pangkalan data SIR Corner menjadikan perpustakaan digital ini sebagai sebuah hab pendidikan tanpa sempadan,” katanya semasa gimik penyerahan Sir Corner dan perasmian Program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza di Dewan SM St. Michael, Penampang, di sini.

Turut hadir, Pengetua SM St Michael, Jennifer Asing; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.


Philip (tengah) menyampaikan penghargaan kepada wakil SM St Michael, Penampang, Sabah.
Philip (tengah) menyampaikan penghargaan kepada wakil SM St Michael, Penampang, Sabah.

Program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza di bawah anjuran YBR bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai teknik menjawab soalan peperiksaan terutamanya subjek teras dan elektif.

Selain itu, program berkenaan juga diharap dapat meningkatkan motivasi dan semangat pelajar serta sebagai persediaan minda sebelum menduduki peperiksaan.

Tambah Philip, beliau amat teruja dengan pelbagai inisiatif yang dijalankan bagi meningkatkan prestasi pendidikan serta akademik murid sekolah, khususnya mereka yang berada di sekitar Penampang.

"YBR sentiasa menyokong agenda pendidikan negara dan program sebegini mampu memberikan impak yang tinggi kepada pencapaian pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akan datang serta memberi manfaat kepada semua yang terlibat.

“Bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu pihak sekolah meneruskan aktiviti pendidikan yang telah dirancang sepanjang tahun untuk membantu pelajar-pelajar serta dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan biasa sehingga ke peperiksaan sebenar.

“Usaha ini juga menjadi salah satu strategi YBR dalam membantu masyarakat di Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan, baik di bandar mahupun di luar bandar,” katanya.