MCA tidak berkempen bukan satu isu - Lian Ker

Ti Lian Ker
Ti Lian Ker
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan MCA untuk turun membantu atau tidak berkempen semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti seharusnya tidak dipersoalkan mana-mana pihak.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ini kerana dalam beberapa siri pilihan raya ketika berada dalam pentadbiran sebelum ini juga ada ketika partinya tidak turun membantu atas faktor tertentu.

“Kali ini MCA akan turun berkempen sebab kini masih berada atas landasan parti, jadi apa pun terjadi kita kena terima hakikat bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) setakat kerajaan.

“Masa kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun kami tak pergi berkempen dengan Pas dan Bersatu tapi kenapa tiba-tiba sekarang ada tuntutan mengenai isu ini? Ini semua propaganda,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Sebelum ini media melaporkan, keputusan MCA untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan adalah muktamad.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, parti itu hanya akan membantu kempen UMNO mengambil kira parti tersebut pernah membantu MCA ketika bertanding di PRN Johor, tahun lalu.

Mengulas lanjut, Lian Ker menjelaskan PH dan BN kini belum bergabung sebagai satu parti, jika PRN di Johor dan Melaka sebagai presiden maka itu adalah landasan yang membolehkan dua parti itu bekerjasama atas platform kerajaan.

“Ini sebagai satu gabungan kerajaan tetapi pemilihan parti tetap BN. Kalau ada persefahaman yang sama ia bagus namun masih perlu berlandaskan parti masing-masing untuk menjaga kepentingan parti,” ujarnya.