Inisiatif MyPSV ringankan beban rakyat

Beri peluang pemohon jana pendapatan menerusi kerjaya e-hailing

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM – Kerajaan Perpaduan berusaha untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara, melalui pelbagai inisiatif.

Menyedari cabaran ekonomi dan kenaikan kos harga barang, kerajaan memberi fokus untuk membantu golongan B40 dan miskin tegar.

Salah satu inisiatif kerajaan melalui Belanjawan 2023 ialah menawarkan 4,000 Lesen Vokasional Kelas Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma kepada golongan B40 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan menerusi program MyPSV.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook ketika melancarkan inisiatif itu baru-baru ini berkata 4,000 lesen itu sebanyak 3,500 adalah untuk pemohon lesen PSV e-hailing teksi manakala 500 lagi ditawarkan untuk lesen PSV bas di seluruh negara dan ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Program ini juga sebagai komitmen dan usaha kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi gig seterusnya menyokong dan menambah baik kelangsungan sektor pengangkutan awam serta pelancongan di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, bantuan pengecualian bayaran daripada kerajaan itu boleh membantu mengurangkan bebanan kos yang ditanggung oleh golongan B40.

LEE LAM THYE
LEE LAM THYE

“Memandangkan bayaran (lesen PSV) yang dikenakan adalah agak tinggi, mungkin di luar kemampuan orang berkenaan, jadi mereka tidak mendapat lesen PSV.

“Tetapi sekarang apabila kerajaan telah memberikan satu kemudahan, saya yakin bahawa ini tentu akan membantu mereka dalam menguruskan hal-hal berkaitan PSV.

“Tentunya dengan memperoleh lesen PSV, ia akan membuka peluang kepada mereka untuk memohon sesuatu jawatan atau pekerjaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru katanya, rakyat golongan B40 perlu merebut peluang yang ditawarkan menerusi program MyPSV itu.

No Image Caption

“Ini adalah satu langkah yang akan membantu mereka. Jadi, jangan lepaskan peluang dan ambil kesempatan untuk membuat permohonan mendapatkan lesen PSV (secara percuma) kerana ini perkara asas yang diperlukan oleh semua yang terlibat dalam pemanduan kereta ataupun dalam bidang pengangkutan,” jelasnya.

Tambah Lam Thye, orang ramai terutama bagi yang mempunyai lesen PSV, turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain.

30 tahun pengalaman

Minat mendalam terhadap kerjaya sebagai pemandu pengangkutan awam teksi membuatkan Hamidin Mohd Said, 58, meneruskan bidang yang sama selama lebih 30 tahun.

Pemandu e-hailing, Hamidin Mohd Said, 58, berkata, meskipun mempunyai kerjaya sendiri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat, namun dia tetap meneruskan kerjaya e-hailing separuh masa bermula pada 2017.

HAMIDIN
HAMIDIN

Menurutnya, Lesen Vokasional Kelas Perkhidmatan Awam (PSV) yang dimilikinya sejak tahun 1992 ketika membawa teksi itu masih lagi digunakan hingga sekarang.

“Setiap tahun saya memperbaharuinya (lesen PSV). Apa (ujian dan prosedur) yang dikehendaki, saya ambil, sehinggalah sekarang,” katanya.

Mengulas mengenai kegunaan lesen PSV, bapa kepada enam anak itu berkata, ia merupakan satu lesen penting untuk meyakinkan pengguna bahawa pemandu berkenaan diiktiraf oleh kerajaan dan telah melalui prosedur ujian penting dari segi disiplin, integriti dan keselamatan.

Jelas Hamidin, inisiatif kerajaan itu merupakan peluang baik untuk golongan B40 dari segi meningkatkan pendapatan isi rumah dan kos sara hidup mereka.

“Saya amat sokong (inisiatif lesen PSV kepada B40). Mereka memang berada dalam keadaan yang kurang berkemampuan.

“Tetapi saya sarankan supaya setiap latar belakang mereka yang memohon diperiksa betul-betul agar tawaran ini benar-benar sampai kepada sasaran yang tepat dan layak sahaja,” ujarnya.

REAKSI ORANG RAMAI

ASYRAF
ASYRAF



“Nak buat lesen PSV bukan murah, tetapi apabila kerajaan nak bagi 4,000 lesen PSV percuma dalam program MyPSV, memang orang ramai perlu rebut peluang untuk ambil (lesen).” - Krew teknikal, Asyraf Junoh, 33.

“Langkah kerajaan beri lesen PSV percuma itu memang dapat membantu rakyat yang kesempitan hidup. Mereka yang berkeluarga, anak-anak ramai dan, tak cukup pendapatan, memang sewajarnya dibantu.” - Pemandu lori, Borhan Awaluddin, 55.

SITI NOR SALEHA
SITI NOR SALEHA



“Saya percaya golongan B40 akan menarik nafas lega. Memang bantuan seperti ini sepatutnya didahulukan kepada yang betul-betul tidak berkemampuan.” - Eksekutif Inventori, Siti Nor Saleha Binti Mastor, 30.

“Inisiatif kerajaan berkenaan program MyPSV ini bagi saya dapat meringankan kos yang ditanggung oleh rakyat. Mungkin kerajaan boleh perluaskan lagi bantuan itu kepada golongan lain juga.” – Jurufoto, Muhammad Farith Baharen, 30.

MUHAMMAD SUHAIRI
MUHAMMAD SUHAIRI

“Tawaran yang sangat bagus untuk rakyat. Bagi mereka yang tidak bekerja, inisiatif kerajaan ini satu peluang untuk mereka ambil dan bekerja sebagai pemandu e-hailing.” - Peniaga, Muhammad Suhairi Suhailmi, 31.

INFO

Lesen PSV e-hailing

- Merupakan lesen memandu vokasional yang membenarkan pemegang lesen, memandu kenderaan awam seperti teksi atau Grab/MyCar/lain-lain yang berkenaan.

Jenis Lesen PSV di pasaran

- Teksi/Teksi Mewah/Kereta Sewa/E-Hailing

- Motokar ringan/Bas Mini/Van

- Bas

Harga PSV

Harga kursus PSV berbeza mengikut caj sekolah memandu. Anggaran kos untuk PSV sahaja antara RM70 hingga RM300. Tidak termasuk pemeriksaan kesihatan yang berharga RM50 hingga RM80 dan proses Kad PSV di pejabat JPJ RM20 hingga RM50.

No Image Caption