Sindiket seludup sisik tenggiling: SPRM tahan 12 individu

Azam bercakap kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur pada Khamis. - Foto Bernama
Azam bercakap kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai 12 individu ditahan termasuk dua daripada sebuah agensi penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya yakin penahanan 12 individu berkenaan dapat membantu melengkapkan siasatan berhubung kes cubaan melupuskan 1.8 tan sisik tenggiling bernilai lebih RM23 juta.

"Saya jangka sudah habis dah (tak ada tangkapan lagi). Yang penting kita siapkan siasatan kita dalam tempoh dua minggu.

"Kes yang kita siasat ini adalah satu bentuk rasuah dan salah guna kuasa dalam pelupusan binatang yang dilindungi oleh hidupan liar (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Timur di sini, pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, Azam memberitahu, pembongkaran kes itu juga berdasarkan hasil maklumat diterima pihaknya daripada badan bukan kerajaan (NGO) luar negara dan pihak autoriti dari Amerika Syarikat.

"Kerjasama dengan pihak luar amat baik sekarang ini kerana dengan ini kita dapat selamatkan hidupan liar daripada terpupus.

"Ini merupakan sindiket besar melibatkan sindiket antarabangsa," katanya.

Terdahulu, SPRM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa dan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dalam serbuan di Klang, Selangor dan ibu kota pada 14 Julai lalu.

SPRM turut merampas hampir dua tan sisik haiwan itu dalam serbuan di Klang sementara terdapat beberapa rampasan di Kuala Lumpur membabitkan beberapa kenderaan mewah yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki disyaki terlibat sindiket seludup sisik tenggiling ditahan

Sindiket seludup tenggiling: SPRM buru Sheikh Biman bantu siasatan

Sindiket seludup sisik tenggiling RM23.4 juta tumpas