Sindiket seludup sisik tenggiling RM23.4 juta tumpas

Antara suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Sabtu. Sisik tenggiling yang dirampas (kanan).
Antara suspek yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Sabtu. Sisik tenggiling yang dirampas (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Dua tan sisik tenggiling bernilai kira-kira RM23.4 juta serta beberapa kenderaan mewah dirampas menerusi serbuan di premis pembuatan tayar celup di Klang dan Kuala Lumpur pada Jumaat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi kenyataan berkata, sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling itu dipercayai turut terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

"Operasi dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM itu dijalankan hasil maklumat dari agensi penguatkuasa Amerika Syarikat serta maklumat hasil risikan di United Kingdom dan Hong Kong.

"Menerusi serbuan di Klang, SPRM merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta manakala beberapa kenderaan mewah yang mempunyai kaitan dengan sindiket ini dirampas dalam serbuan di Kuala Lumpur," katanya pada Sabtu.

Katanya, susulan operasi ini, SPRM telah menahan seramai tujuh individu dipercayai terlibat dalam sindiket ini.

"Kesemua suspek ditahan berumur antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warganegara Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal.

"Empat daripada tujuh suspek terbabit direman kerana cuba melakukan sogokan ketika serbuan dijalankan," katanya.

Menurut sumber, suspek terdiri daripada empat lelaki berumur antara 30 hingga 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

"Susulan penahanan tersebut, Majistret A Karthiyayini telah membenarkan tiga suspek direman selama empat hari manakala seorang lagi suspek direman selama dua hari.

"SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan serbuan dan penahanan dijalankan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," katanya.