Isu lambakan sampah: Ramli beri kata semangat kepada pemandu, krew KDEBWM

Ramli bersama pegawainya (tiga dari kanan) mengadakan pertemuan bersama Julian (dua dari kiri) dan pekerja yang terlibat dalam kutipan sampah di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat pada Rabu.
Ramli bersama pegawainya (tiga dari kanan) mengadakan pertemuan bersama Julian (dua dari kiri) dan pekerja yang terlibat dalam kutipan sampah di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd Tahir mengadakan pertemuan bersama pemandu kompaktor sampah, Julian Nordin dan pekerja yang terlibat dalam kutipan sampah di Kampung Jawa Batu 18, Hulu Langat pada Rabu.

Julian tular selepas memuat naik video mempertahankan prosedur operasi standard (SOP) jadual kutipan sampah yang dilaksanakan KDEBWM di kampung berkenaan.

Dalam pertemuan itu, Ramli memberi kata-kata semangat kepada Julian dan pekerja pembersihan lain yang telah melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

Menerusi video itu, Ramli meminta Julian dan rakan sekerja meneruskan prestasi cemerlang dalam keadaan apa sekali pun.

"Inilah kerja kita, (mungkin) orang tak faham, tapi tidak apalah kita maafkan asalkan selesai mengikut arahan yang diberikan oleh Majlis Perbandaran Kajang di sepanjang jalan ini," kata Ramli.

Beliau memberitahu, setiap pekerja perlu memastikan masalah sampah ditangani kerana ia menjadi tanggungjawab KDEBWM bersama kerajaan negeri.

Ujar beliau, tanggungjawab itu merupakan satu amanah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri Selangor.

"Saya bagi pihak syarikat mengucapkan terima kasih kepada Julian dan kru yang ada pada pagi ini (Rabu)," jelas beliau.

Julian dalam ucapan video ringkas itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan berterusan.

"Insya-ALLAH kami cuba (memberikan perkhidmatan kutipan sampah) terbaik di kawasan ini," katanya.

Sebelum ini, video dimuat naik Julian dalam hantaran di media sosial tular apabila dia mempertahankan diri dan petugas pembersihan yang menjalankan kutipan di kawasan itu.

Julian memberitahu, lori sampah dipandunya itu mempunyai sistem pengesanan global (GPS) dan mustahil tidak menjalankan kutipan mengikut jadual ditetapkan.

"Apabila lori ini berhenti, maka dia automatik kunci lokasi GPS di tempat kita berada sebagai bukti kami di tempat kutipan sampah.

"Apabila membuat kutipan, kami akan mengambil gambar atau video di kawasan tersebut," katanya.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, KDEBWM sentiasa mematuhi SOP kutipan sampah di kampung tersebut.

Kutipan sisa pepejal yang dilaksanakan itu selari mengikut jadual kutipan iaitu tujuh kali seminggu bagi kutipan sisa domestik dan tiga kali seminggu kutipan sisa pukal.

Ahad lalu, seorang pemilik akaun Twitter sebelum ini memuat naik video tentang kekecewaannya mengenai lambakan sampah di kawasan berkenaan.

Menerusi video itu, individu itu mendakwa kerajaan negeri tidak mengambil serius tentang isu pengurusan sampah.

ARTIKEL BERKAITAN:

KDEBWM ikut SOP kutipan sampah