Sorok dadah lebih RM4.3 juta dalam bungkusan teh, pek jus

Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPK Johor pada Khamis.
Kamarul Zaman (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah pada sidang media di IPK Johor pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sindiket pengedaran dadah yang menggunakan bungkusan teh dan pek minuman jus terbongkar susulan tertangkapnya empat lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Kluang, pada Isnin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keempat-empat suspek lelaki tempatan berumur lingkungan 22 hingga 30 tahun itu ditahan antara jam 6.20 petang hingga 9.46 malam.

"Dalam serbuan ini, sebanyak 54.33 kilogram (kg) serbuk ekstasi; 2.21kg pil erimin 5 ; 6,564 biji pil ekstasi ; 1,22kg ketamin; 346 gram ganja yang keseluruhannya bernilai lebih RM4.3 juta dengan jumlah rampasan itu boleh digunakan seramai 202,042 penagih.

"Polis juga menyita enam buah kenderaan, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM11,000 dianggarkan keseluruhan bernilai RM455,339," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar.

Kamarul Zaman berkata, salah seorang daripada suspek yang ditahan dipercayai merupakan merupakan ketua sindiket berkenaan.

"Modus operandi digunakan sindiket yang disyaki aktif sejak April lalu, menjadikan rumah dua teres dua tingkat sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

"Dadah yang diseludup ini akan diisi di dalam pek minuman jus yang dijual dengan harga serendah RM150 setiap pek dan disasarkan dijual di pusat hiburan. Bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis ketamin.

"Semakan rekod mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Selasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.