PM ingatkan menteri, pegawai hindari rasuah

Anwar berucap ketika hadir ke Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Kampung Raja Musa Tanjong Karang pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar berucap ketika hadir ke Sambutan Maal Hijrah 1445H Perpaduan Tanjong Karang di Kampung Raja Musa Tanjong Karang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA SELANGOR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua menteri kabinet dan pegawai kementerian supaya menghindari sebarang bentuk salah laku dan amalan rasuah.

Anwar menegaskan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau dan memberi laporan sekiranya terdapat kes rasuah dan salah guna kuasa di peringkat kementerian.

"Lapan bulan kita menjadi kerajaan, saya semak dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) kalau ada kes jenayah dan sebagainya (membabitkan menteri dan pegawai kementerian).

"Saya juga memanggil SPRM minta mereka memantau menteri dan (pegawai) pejabat supaya tidak terlibat dalam rasuah," katanya ketika berucap semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah Perpaduan Tanjong Karang di Jalan Sekolah Kampung Raja Musa, Tanjong Karang di sini pada malam, Rabu.

Anwar memberitahu, beliau tidak teragak-agak meminta pihak terlibat dalam amalan rasuah berhenti serta-merta daripada meneruskan perkhidmatan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Jika didapati ada (amalan rasuah), misalnya dapat tahu ada (individu) yang hendak jumpa menteri, tetapi pegawai pula yang meminta RM10,000.

"Kalau ada kes seperti ini, saya minta pegawai terbabit berhenti segera, tetapi setakat ini kes melibatkan menteri, pembesar polis atau tentera belum ada lagi," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar tiada pihak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah demi kebaikan negara

"Ini yang kita (Kerajaan Perpaduan) buat iaitu hijrah pembaharuan yang membawa ke arah kebaikan untuk selamatkan negara," ujarnya