Pearly mahu smash lebih laju

Pearly mencatat rekod smash 438 kilometer sejam (km/j).
Pearly mencatat rekod smash 438 kilometer sejam (km/j).
A
A
A

PEMAIN beregu badminton wanita negara, Pearly Tan percaya dia mampu untuk mencatat rekod 'smash' lebih laju berbanding yang dilakukannya selepas diiktiraf pukulan terpantas dunia bagi kategori wanita oleh Guinness World Records.

Menurut Pearly, dia mahu mempertingkatkan kelajuan smash tersebut yang bukan sekadar untuk mengejar rekod tetapi juga membantu terutama menghadapi perlawanan bersama rakan segandinganya, M Thinaah.

"Saya sangat gembira dengan rekod tersebut.

Ia umpama mimpi.

Sebenarnya saya tidak memikirkan sangat berkenaan kelajuan smash yang dilakukan tapi saya gembira apabila mereka kata saya berjaya mencipta rekod dunia.

"Selepas ini saya akan cuba berlatih dengan lebih keras supaya smash saya itu dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi," katanya yang ketika ini beraksi di Terbuka Korea bersama Thinaah.

Pada Selasa, jenama peralatan sukan terkemuka, Yonex memaklumkan pukulan smash Pearly diangkat sebagai pukulan terpantas dunia bagi kategori wanita.

Pearly merekodkan kelajuan pukulan 438 kilometer sejam (km/j), 65.5 km/j lebih laju daripada sebuah kereta Formula Satu (F1) yang dilakukan di Gimnasium Yonex Tokyo Factory pada 14 April lalu dengan menggunakan raket model Nanoflare 1000 Z.

Dalam pada itu, gandingan tersebut berjaya mara ke pusingan kedua Terbuka Korea selepas menundukkan menundukkan wakil Jepun Rui Hirokami-Yuna Kato dalam aksi yang berlangsung di Stadium Jinnam, Yeosu pada Rabu.

Bagaimanapun, bagi Thinaah, dia dan Pearly masih belum berpuas hati dengan persembahan mereka dan akan tampil lebih baik pada pusingan kedua pada Khamis.

"Saya dan pasangan sudah tentu gembira dapat beraksi semula di gelanggang selepas tidak lama tidak berbuat demikian.

Bagaimanapun kami masih belum berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pada perlawanan ini," katanya.

Pearly dan Thinaah berdepan tugas sukar di pusingan kedua apabila dijadualkan bertemu wakil China yang juga pilihan pertama kejohanan Chen Qin Feng-Jia Yi Fan yang mara selepas mendapat bye di pusingan pertama.