Lelaki memandu bawah pengaruh dadah langgar tiga kenderaan

Keadaan kenderaan yang dipandu suspek.
Keadaan kenderaan yang dipandu suspek.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar tiga kenderaan di Jalan Kemajuan Seksyen 13, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang menjalankan tugas ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dalam keadaan mencurigakan pada jam 7.25 malam.

"Semasa anggota bertugas meminta pemandu memberhentikan kenderaan tersebut untuk menjalankan pemeriksaan, dia enggan berhenti dan terus memecut laju dengan memandu secara berbahaya.

"Kenderaan pacuan empat roda itu turut melanggar tiga buah kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Fakhrudin berkata, semasa kejadian terdapat seorang orang awam mengalami kecederaan ringan di bahagian betis kiri dan kanan.

"Suspek warga tempatan berusia 43 tahun berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan memberikan kerjasama semasa pihak polis menjalankan tugas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang kes jenayah boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03 - 79662222," katanya.