KPM digesa pertimbang silibus bahaya vape - Lam Thye

Penjualan vape dilihat tidak terkawal dan tanpa halangan daripada mana-mana pihak kerana sesiapa sahaja boleh membelinya.Gambar kecil: Lam Thye
Penjualan vape dilihat tidak terkawal dan tanpa halangan daripada mana-mana pihak kerana sesiapa sahaja boleh membelinya.Gambar kecil: Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa untuk mempertimbangkan silibus pelajaran berkaitan bahaya rokok elektronik atau vape diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah bagi mengekang gejala sosial itu daripada terus berlaku.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ilmu tersebut akan menyedarkan lebih ramai remaja tentang kesan buruk terhadap penggunaan rokok elektronik sekali gus dapat menyelamatkan golongan itu daripada terjebak dengan ketagihan.

“Perkara itu perlu dilakukan kerana statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan betapa seriusnya isu penggunaan vape dalam kalangan remaja ketika ini.

“Saya sendiri dapat melihat ia (rokok elektronik) sangat mudah untuk didapati kerana ada dijual dipelbagai kedai dan merata tempat sehingga ke pasar malam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengemukakan cadangan kepada KPM untuk memperkenalkan sukatan pelajaran baharu berkenaan bahaya vape di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, penjualan vape dilihat tidak terkawal dan tanpa halangan daripada mana-mana pihak kerana sesiapa sahaja boleh membelinya.

Beliau berkata, isu penjualan itu perlu diberi perhatian dengan kewujudan akta yang melarang golongan berumur di bawah 18 tahun untuk memilikinya.

“Sudah tiba masanya kita mengambil langkah yang komited bagi memastikan isu rokok elektronik ini dihentikan dalam kalangan remaja.

“Seruan saya juga kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar bersama-sama berkongsi pandangan tentang cara untuk memastikan rokok elektronik ini berjaya dijauhkan daripada anak muda,” ujarnya.