Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa. Foto hiasan
Ringgit terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa. Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa, seiring dengan prestasi mata wang serantau yang diasak kebimbangan berkaitan pertumbuhan ekonomi China walaupun dolar AS lemah.

Malah, dolar AS mencecah paras hampir terendahnya sejak April 2022 pada Jumaat lepas susulan pengumuman berkaitan Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar, kata penganalisis.

Pada 6 petang ini, ringgit berada di paras 4.5375/5420 berbanding dolar AS daripada 4.5340/5405 yang dicatatkan pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit meneruskan pergerakan dalam jajaran lebih kecil hari ini, didorong oleh kebimbangan mengenai prospek kelemahan ekonomi China yang menjadi asas kelemahan pasaran tukaran asing.

Bank pusat China dijangkakan bertindak mengurangkan lagi kadar utamanya ketika inflasi negara itu menjadi sifar bagi tahun ke tahun pada Jun lepas.

Mohd Afzanizam berkata, pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) juga dijangka mengubah strategi dengan mengendurkan pendirian yang cenderung menaikkan kadar faedah selepas aliran disinflasinya menjadi ketara.

Mohd Afzanizam berkata, IHP AS telah menyederhana kepada tiga peratus pada Jun 2023 selepas mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun iaitu pada 9.1 peratus dalam Jun 2022.

"Oleh itu, adalah jelas pihak Fed kini dalam kedudukan untuk mencapai sasaran inflasi dua peratus dan berikutan itu pelaksanaan dasar monetari lebih ketat dilihat sebagai tidak wajar.

"Pada masa ini, kami beranggapan bahawa ringgit sepatutnya dalam lingkungan RM4.53 hingga RM4.54 berbanding dolar AS yang rendah sedikit daripada paras rintangan segera iaitu RM4.5491.

"Paras sokongan segera pada masa ini adalah RM4.4872," katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama pada akhir urus niaga hari ini.

Unit tempatan itu susut berbanding euro kepada 5.1038/1088 daripada 5.0971/1044, turun berbanding pound Britain kepada 5.9450/9509 daripada 5.9359/9444 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.2835/2870 daripada 3.2815/2864 semalam.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang Asean lain iaitu rendah berbanding baht Thailand kepada 13.2586/2768 daripada 13.0984/1225 pada Isnin, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4346/4383 daripada 3.4315/4366 sebelum ini.

Ia juga rendah berbanding peso Filipina kepada 8.34/8.35 daripada 8.33/8.35 dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 302.5/302.9 daripada 301.9/302.5, semalam

Pasaran akan ditutup pada Rabu bersempena cuti umum Awal Muharam. - Bernama