Pelajar tercorot raih kejayaan selepas sertai YPeA

Jefri (kanan) menyampaikan sumbangan kepada peserta YPeA Fatin Nur Aqilah Mat Soom yang meraih 5A pada SPM 2022.
Jefri (kanan) menyampaikan sumbangan kepada peserta YPeA Fatin Nur Aqilah Mat Soom yang meraih 5A pada SPM 2022.
A
A
A

KUALA KRAI - [DIKEMAS KINI] Seramai 200 pelajar tercorot di pedalaman daerah ini berjaya mencatat keputusan lulus 100 peratus pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 selepas mengikuti Program Yayasan Petronas empower ECER Akademik (YPeA) sesi 2022/2023.

Keputusan diraih pelajar dari lima sekolah di Kuala Krai itu mengatasi pencapaian dua lokaliti lain yang turut serta dalam program berkenaan iaitu Mersing, Johor (98.5 peratus) dan Besut, Terengganu dengan 99 peratus.

Menurut Pengurus Libat Urus Petronas Pantai Timur, Jefri Mohamed Zain, lebih membanggakan seramai 11 daripada mereka memperolehi keputusan 5A ke atas.

Katanya, mereka juga terdiri daripada kumpulan kategori Harapan Lulus (Halus) dan berjaya melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan.

“Kesemua mereka lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil.

“Mereka ialah pelajar daripada keluarga B40 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, SMK Pahi, SMK Manek Urai, SMK Kuala Krai dan SMK Sultan Yahya Petra 1,” katanya selepas pembentangan laporan dan Jalinan Kasih Pelajar Cemerlang B40 YPeA di Pejabat Pendidikan Daerah di sini pada Selasa.

Turut hadir, Pengurus Besar, Pejabat ECERDC Kelantan, Megat Shah Rizal Noor Ikhsan.

Jefri berkata, program dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan iCEPS, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai agensi pelaksana.

Menurutnya, prestasi pelajar-pelajar tersebut sebelum itu mencatatkan rekod 33.5 peratus lulus di dalam peperiksaan nilai pengasingan (TOV) dan meningkat kepada 67.5 peratus dalam peperiksaan percubaan SPM.

“Petronas memberikan komitmen tinggi bagi meningkatkan aspek pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti terutama di luar bandar.

“Program bimbingan ini dijalankan selama 150 jam melibatkan kelas bimbingan pembelajaran, sesi motivasi dan libat urus membabitkan ibu yang berperanan memberikan sokongan kepada mereka,” ujar beliau.

Jefri berkata, pencapaian yang diperolehi bakal menjadi batu loncatan untuk mereka melakukan transformasi dalam hidup dan masa depan.