Jerung ali baba’ kini tidak senang duduk

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KERAJAAN memperlihatkan kesungguhan membanteras gejala rasuah di negara ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dasar anti ali baba sedang dirangka bagi menangani kesan negatif amalan itu terhadap ekonomi.

Tindakan tersebut menarik perhatian rakyat yang mahu amalan ali baba dihapuskan kerana ia menjadi barah dalam agensi kerajaan dan swasta sehingga negara kerugian berbilion ringgit.

Amalan ali baba dilakukan dalam berbagai cara melibatkan aspek perolehan, pelesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.

Antaranya projek pembinaan yang sepatutnya harga murah melonjak mahal kerana ada yang ambil komisen melalui subkontrak atau kartel berpakat menaikkan harga.

Bagi lesen dan permit, terdapat perniagaan yang dimiliki oleh rakyat tempatan disewakan kepada warga asing bagi meraih keuntungan atas angin.

Kita juga perlu cakna terhadap amalan menawarkan komisen antara lima hingga 15 peratus bergantung kepada nilai projek yang dikatakan sudah menjadi kelaziman di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta.

Keputusan penting seperti tawaran kontrak seringkali diberikan berdasarkan hubungan politik.

Amalan ini memberi ruang kepada penerima rasuah untuk memanipulasi sistem dan menyalahgunakan kuasa.

Akibatnya, dana yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dialihkan secara tidak adil kepada pihak lain.

Kos yang tinggi dengan kualiti yang rendah akan menjadi norma. Bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, malah memberi kesan terhadap reputasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Amalan ali baba menjadi punca amalan korupsi dan tidak bertanggungjawab dalam pentadbiran negara.

Mereka yang beroleh keuntungan akan bersikap tamak dan akhirnya kepentingan rakyat terpinggir.

Menghapuskan amalan ali baba dalam sektor ekonomi tidak boleh sekadar cakap kosong tetapi perlu ada tindakan segera.

Komitmen kerajaan untuk memperkenalkan akta anti ali baba, sudah pasti membuatkan golongan ‘makan’ duit rakyat ini tidak senang duduk, malah mungkin juga ada jerung ali baba yang bakal menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).