Panjat pokok 50 meter, Sukri terima anugerah Wira Merah

Tuan Mohamad Sukri (tengah) bersama Muhammad Amir Firdaus (kiri) dan Mohamad Suhazaki Hakim (kanan) menerima sijil penghargaan daripada JBPM Kelantan.
Tuan Mohamad Sukri (tengah) bersama Muhammad Amir Firdaus (kiri) dan Mohamad Suhazaki Hakim (kanan) menerima sijil penghargaan daripada JBPM Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengalaman memanjat pokok keruing setinggi 50 meter demi menyelamatkan seorang pencari madu lebah yang ditemukan mati dalam keadaan tersangkut membolehkan Pegawai Bomba Kanan I, Tuan Mohamad Sukri Tuan Hasan menerima anugerah Wira Merah daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Kejadian pada 3 Julai lalu itu memerlukan beliau yang baharu sahaja seminggu melaporkan diri di Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh bijak menyusun strategi menyelamat kerana jika tersilap langkah ia berisiko mengorbankan nyawa disebabkan faktor ketinggian.

Menceritakan kembali pengalaman operasi tersebut, Tuan Mohamad Sukri berkata, pada hari kejadian beliau bersama Ketua Balai, Azhar Elmy Mustofar terpaksa menaiki pacuan empat roda sejauh 4 kilometer (km) dan berjalan kaki selama 35 minit untuk sampai ke lokasi kejadian di hutan Kampung Cabang Tongkat, Pasir Puteh.

Menurut beliau, kesukaran untuk memanjat memaksa pihaknya meminta bantuan orang kampung yang mahir namun tiada yang berani berbuat demikian.

"Alhamdulillah akhirnya ada dua penduduk yang sudi membantu melancarkan operasi menyelamat itu.

"Hasil perbincangan kami bergabung idea dengan menggunakan kaedah melastik tali ke dahan pokok," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Perhimpunan Bulanan di JBPM Kelantan, Tunjong di sini pada Isnin.

Menurut beliau, dengan bantuan Muhammad Amir Firdaus Mehat, 28, dan Mohamad Suhazaki Hakim Mohd Ali, 29, pokok berketinggian 50 meter itu dipanjat dengan penuh ketenangan dan keberanian.

Tuan Mohamad Sukri memanjat pokok tersebut dengan memijak paku yang telah diletakkan oleh pencari madu lebah terbabit selain menggunakan bantuan alatan keselamatan lain.

Ujarnya, masa selama 10 minit diambil untuk memanjat ke arah mangsa.

Tambah beliau, dengan menggunakan kaedah 'hightline rescue' dan sistem takal jenazah mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat.

"Ini bukan pengalaman pertama saya, kerana sepanjang 15 tahun di Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sudah beberapa kali terlibat dalam kes seumpama itu.

"Antaranya kes melibatkan kereta kabel di Genting, Langkawi dan sebagainya," katanya yang sudah 22 tahun berkhidmat dalam pasukan JBPM.

Pada 4 Julai, anggota dari BBP Pasir Puteh telah berjaya membawa turun pencari madu yang meninggal di atas pokok keruing di hutan Kampung Cabang Tongkat.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Che Hussin Che Hassan, 62, dipercayai tersangkut dan tidak sedarkan diri ketika berada di atas pokok setinggi kira-kira 50 meter untuk mendapatkan madu.

Mangsa merupakan seorang peniaga madu lebah dan telah memanjat pokok untuk mencari madu sejak 13 tahun yang lalu.