Putera Harry, Meghan Markle timang bayi lelaki

Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle selamat menimang cahaya mata pertama pada awal pagi ini. - Foto Instagram @SussexRoyal
Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle selamat menimang cahaya mata pertama pada awal pagi ini. - Foto Instagram @SussexRoyal
A
A
A

LONDON - BRITAIN. Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle selamat menimang cahaya mata pertama mereka awal hari ini.

Berita gembira itu diumumkan Putera Harry dalam satu kenyataan kepada media.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan kami menimang cahaya mata lelaki awal pagi ini, seorang bayi lelaki yang sihat.

"Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat. Ia merupakan pengalaman terhebat yang pernah saya alami," kata Putera Harry kepada wartawan di Windsor.

Menurut kenyataan Istana Buckingham, putera sulung Harry dan Meghan itu dilahirkan pada jam 5.26 pagi (waktu tempatan) dengan berat 3.26 kilogram.

Ibu Meghan, Doria Ragland yang teruja menerima kehadiran cucu sulungnya kini menemani Meghan di Frogmore Cottage.

Berita gembira kelahiran putera sulung pasangan diraja itu turut dikongsi di laman Instagram @SussexRoyal yang dilancarkan pada 2 April lalu.

Peminat dijangka berpeluang melihat pasangan diraja berkenaan bersama bayi mereka apabila Putera Harry dan Meghan mengambil gambar bersama di Istana Windsor dalam masa beberapa hari lagi.

Artikel Berkaitan:

Putera yang baharu dilahirkan itu merupakan waris ketujuh takhta Britain selepas Putera Charles, Putera William, Putera George, Puteri Charlotte, Putera Louis dan bapanya, Putera Harry.

Putera Harry,34, yang juga adik kepada Putera William berkahwin dengan Meghan Markle, 37, seorang aktres terkenal dari Amerika Syarikat pada 19 Mei 2018. - AFP/ Agensi