Himpunan terhadap kecelaruan kerajaan

 Noor Hariri Mohd Noor
Noor Hariri Mohd Noor
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan tidak terkejut dengan apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan pemimpin PH mengenai Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam kerana ia sekadar melambangkan ‘ketakutan’ mereka terhadap pembangkang yang semakin berani.

Ketuanya, Noor Hariri Mohd Noor berkata, tuduhan memperdagangkan agama dan kepentingan politik sepatutnya dilemparkan kepada diri mereka sendiri, bukan pembangkang.

“Kenapa perlu takut dan meroyan? Tidak perlulah menjadi suara DAP apabila UMNO dan Pas bersama-sama perjuangkan apa yang sepatutnya.

"Himpunan tersebut satu manifestasi rakyat terhadap kebobrokan dan kecelaruan kerajaan PH hari ini yang ternyata gagal dalam mentadbir negara ke arah lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang mendakwa tindakan UMNO dan PAS menyertai Himpunan Rakyat Pertahan Kedaulatan Islam di ibu negara sebagai tindakan hipokrit, semata-mata demi kepentingan politik serta memperdagangkan agama.

Hariri berkata, PH terdesak apabila himpunan seramai itu dengan kerahan saat akhir mampu mencapai kehadiran 10,000 orang yang majoritinya anak-anak muda yang muak dengan pembohongan PH.

Beliau juga memberitahu, sudah tentunya ini memberi ketakutan kepada ‘bos besar’ mereka iaitu DAP, sedangkan rakyat juga sedang memerhati PH yang gagal dalam setahun pertama ini.

“Kenyataan Mahfuz hanyalah untuk menutup kelemahan pentadbiran mereka yang sentiasa menyalahkan orang lain,” katanya.

Artikel Berkaitan: