Motosikal disita kerana guna ekzos 'perang'

BSPT IPD Ampang Jaya melaksanakan operasi di lorong motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini pada Ahad.
BSPT IPD Ampang Jaya melaksanakan operasi di lorong motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini pada Ahad.
A
A
A

AMPANG - Tindakan mengubah suai motosikal keterlaluan dengan menggunakan ekzos bising mengundang padah selepas disita polis menerusi operasi di lorong motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Operasi Cegah Kemalangan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula jam 12.01 tengah malam.

Menurutnya, sebanyak 109 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan kesalahan nombor pendaftaran.

"Selain itu, empat motosikal jenis Yamaha Lagenda 110, Y15, Suzuki RG Sport serta Honda RS150 turut disita kerana penggunaan ekzos bising.

"Penunggang dan motosikal telah dibawa balik ke Balai Trafik IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

No Image Caption

Beliau berkata, operasi itu bertujuan bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal di kawasan berisiko.

Katanya, selain itu, operasi berkenaan juga bagi melaksanakan pencegahan dari berlakunya aktiviti jenayah.

"Dinasihatkan kepada semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

"Jadilah pengguna jalan raya yang patuh pada undang-undang. Utamakan keselamatan dan sayangi nyawa," ujarnya.