Sindiket kurang duti kereta mewah aktif sejak lima tahun

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah yang dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi penahanan tujuh individu baru-baru ini dikesan bergiat aktif sejak lima tahun lalu.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai berkata, risikan dan terperinci yang dijalankan mendapati sindiket ini turut melibatkan beberapa individu lain.

"SPRM baru menerima maklumat berkaitan kegiatan sindiket ini daripada sumber dan masa sama siasatan terperinci sedang dijalankan bagi membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Sindiket ini dikesan bergiat aktif sejak lima tahun lalu, jadi siasatan lebih mendalam akan dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan yang akan dijalankan selepas ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya, SPRM sedang memburu beberapa individu yang disyaki terbabit dengan rangkaian sindiket berkenaan.

Pada Jumaat, media melaporkan SPRM menahan tujuh individu kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.

Sumber berkata, perbuatan penyelewengan itu menyebabkan negara mengalami ketirisan cukai kastam sebanyak RM33 juta.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 60-an telah ditahan di pejabat SPRM Kedah antara jam 5 petang hingga 10.30 malam Khamis ketika hadir memberi keterangan.

Suspek berkenaan yang merupakan ejen kastam dipercayai bersubahat bersama pemilik kereta.

Mereka yang terlibat mengemukakan dokumen atau maklumat palsu bagi tujuan mendapatkan pengurangan penilaian duti kastam, sedangkan kenderaan tersebut tidak layak menerimanya.

Rentetan penahanan tersebut, Bahagian Operasi Khas SPRM telah melakukan serbuan di beberapa premis perniagaan, pejabat agensi kerajaan serta kediaman di sekitar Lembah Klang, Kedah, Johor, Perak serta Sabah.