Kekang kebanjiran PATI, JIM Johor lakukan lima operasi serentak

Sebahagian warga asing yang ditahan. Foto JIM Johor
Sebahagian warga asing yang ditahan. Foto JIM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 49 warga asing ditahan dalam lima operasi yang diadakan serentak oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor di beberapa daerah Johor mulai Isnin hingga Rabu minggu lalu.

Pemangku Pengarah JIM Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, operasi serentak melibatkan Ops sapu, Ops mahir, Ops selera, Ops minyak dan Ops kutip.

Menurutnya, JIM Johor, akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan di negeri ini dalam usaha membanteras isu kebanjiran PATI ini.

“Operasi serentak ini dijalankan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Negeri Johor, Unit Penguatkuasaan Cawangan Batu Pahat, Mersing, Segamat dan Muar.

“Hasilnya, seramai 49 warga asing ditahan atas kesalahan bekerja tanpa pas/permit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan di daerah Johor Bahru melibatkan sembilan lelaki dan Indonesia (3), seorang lelaki warga Bangladesh (1), lelaki warga warga Pakistan (1) dan perempuan warga Thailand (1) masing-masing berusia 27 hingga 48 tahun.

"Di Mersing, lima lelaki warga Indonesia, lima (Nepal) dan seorang lelaki warga Bangladesh yang masing-masing berusia antara 22 hingga 43 tahun manakala tangkapan di Segamat pula melibatkan enam lelaki Pakistan dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 25 hingga 45 tahun.

"Bagi daerah Muar pula, kesemua yang ditahan adalah lelaki warga Indonesia, seorang lelaki dan seorang perempuan warga Myanmar serta seorang lelaki warga Turki berusia dalam lingkungan 21 hingga 50 tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Faizal berkata, kesemua warga asing yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 Akta 155 kerana tinggal lebih masa.

"Sebanyak 10 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh JIM bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut." katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!