Malaysia boleh capai sasaran KDNK 2023 - Pakar Ekonomi

Pakar ekonomi berpendapat unjuran KDNK antara 4.0 dan 5.0 peratus yang ditetapkan kerajaan untuk 2023 boleh dicapai.
Pakar ekonomi berpendapat unjuran KDNK antara 4.0 dan 5.0 peratus yang ditetapkan kerajaan untuk 2023 boleh dicapai.
A
A
A

WALAUPUN terdapat gangguan yang tercetus dek persekitaran global yang tidak menentu pada separuh pertama 2023, ekonomi Malaysia telah bersedia untuk mengharungi baki tahun ini dengan dipacu sokongan berterusan daripada isi rumah yang kukuh, keutuhan asas ekonomi dan prospek yang lebih baik.

Pakar ekonomi berpendapat unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 dan 5.0 peratus yang ditetapkan kerajaan untuk 2023 boleh dicapai dan negara berada di landasan yang tepat untuk merealisasikannya.

Mereka juga percaya pemboleh ubah luaran yang mempengaruhi pertumbuhan, yang memberi kesan kepada ekonomi pada separuh pertama 2023 termasuk pendirian monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, dolar AS dan pemulihan China yang tidak seperti diharapkan, mungkin boleh memberi manfaat kepada Malaysia pada separuh kedua 2023,

Penggunaan domestik kekal sebagai pemacu utama

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh pada separuh pertama 2023, disokong antaranya pasaran tenaga kerja yang sihat, ketibaan pelancong yang lebih baik serta jualan kenderaan yang menggalakkan, meskipun dalam keadaan persekitaran luaran yang suram.

Justeru, ini memberikan sokongan padu kepada KDNK dan tanggungjawab kini terletak pada permintaan domestik untuk memastikan momentum pertumbuhan Malaysia akan berterusan, katanya.

Beliau berkata, setakat ini, pasaran guna tenaga menunjukkan trend positif dengan jumlah penganggur menurun kepada 584,600 pada Mei 2023 daripada setinggi 826,100 pada Mei 2020.

"Trend sebegini adalah seiring dengan pembukaan semula ekonomi sejak Oktober 2021 dan ia memainkan peranan penting kepada aktiviti ekonomi yang lebih rancak,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, negara turut menyaksikan jumlah volum industri bagi sektor automotif meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada 299,463 unit untuk lima bulan pertama 2023.

Selain itu, jumlah trafik penumpang lapangan terbang melonjak 102.2 peratus kepada 31.9 juta penumpang antara Januari dan Mei tahun ini, katanya.

"Permintaan domestik kita terus bertambah baik sekali gus memastikan unjuran pertumbuhan KDNK antara 4.0 hingga 5.0 peratus untuk tahun ini dapat dicapai," katanya.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baharu dilantik Datuk Abdul Rasheed Ghaffour baru-baru ini memberitahu Bernama bahawa bank pusat itu masih mengekalkan unjurannya untuk pertumbuhan KDNK negara tahun ini kerana permintaan domestik kekal berdaya tahan.

Meredakan tekanan inflasi

Ketua Pegawai Pelaburan Manulife Investment Management bahagian Pendapatan Tetap, Asia (tidak termasuk Jepun), Murray Collis berkata, inflasi di seluruh rantau Asia secara relatifnya dikawal dengan baik berbanding negara maju yang lain.

Beliau berkata, bank-bank pusat Asia berada dalam kedudukan yang agak baik untuk mengekalkan dasar monetari dengan stabil, malah boleh bergerak ke arah pendirian akomodatif pada suku akan datang.

Sementara itu, Ketua Bersama Strategi Makro Global (pasukan penyelesaian pelbagai aset) Manulife Investment Management, Sue Trinh berkata, inflasi di Malaysia adalah agak terkawal.

"Dan ini telah mengurangkan tekanan kepada Bank Negara untuk menaikkan kadar secara agresif," katanya sambil menambah putaran perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan telah membantu menyokong aktiviti ekonomi di peringkat global.

Selepas empat kenaikan berturut-turut pada 2022 dengan sejumlah 100 mata asas (bps) dan dua kali penangguhan seketika pada awal 2023 iaitu kekal pada 2.75 peratus, BNM pada 3 Mei di luar jangkaan telah menaikkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas untuk menyamai paras prapandemik 3.0 peratus.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM percaya ekonomi global terus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, manakala kedua-dua inflasi keseluruhan dan teras diunjurkan bergerak rendah pada separuh kedua 2023.

Dalam pada itu, bank pusat mengekalkan kadar penanda aras awal bulan ini kerana pendirian dasar monetari sedikit akomodatif dan kekal menyokong ekonomi.

Prospek luaran, ringgit yang kian baik

Berikutan ketegangan geopolitik AS-China yang menghalang pelabur dan usaha rangsangan yang gagal -- pelbagai pengurangan kadar faedah dan suntikan modal, ramai percaya penggubal dasar China akan terus berusaha untuk memulihkan keyakinan pengguna dan perniagaan pada separuh kedua 2023.

Pemulihan di China dijangka meningkat pada separuh kedua 2023 apabila pasaran pekerjaan pulih serta pertumbuhan pendapatan bertambah baik dan kesan limpahan itu akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana China ialah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Global Standard Chartered, Steve Brice baru-baru ini berkata, kemelesetan yang dijangka berlaku di Amerika Syarikat (AS) telah tertunda dan ia kemungkinan melanda negara itu menjelang suku pertama tahun depan, dan ini menyebabkan Rizab Persekutuan mengurangkan kadar faedah.

Beliau berkata, ketidaktentuan yang menyelubungi pasaran global akan mendorong pelabur untuk cenderung berpaling kepada aset di Asia memandangkan penilaiannya yang lebih murah dan pasaran seperti Bursa Malaysia boleh menjadi destinasi menarik bagi pelabur untuk mendapatkan perlindungan.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes pula berkata, sekiranya AS mencatatkan penurunan sederhana, Malaysia seharusnya mendapat manfaat melalui saluran komoditi, sekali gus membantu ringgit untuk pulih dan seterusnya memacu aliran masuk dana asing.

Pada separuh pertama 2023, belian bersih pelabur asing berjumlah RM21.2 bilion berbanding jualan bersih RM3.2 bilion pada separuh pertama 2022.

Dalam pada itu, Brice turut menjangkakan dolar AS, yang telah dinilai terlalu tinggi berdasarkan kenaikan berbilang tahun, akan lemah untuk tempoh enam hingga 12 bulan.

Peserta pasaran telah menjangkakan kenaikan kadar faedah 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 25-26 Julai, tetapi ia mungkin merupakan kenaikan terakhir tahun ini. - Bernama