22 maut hujan lebat landa Korea Selatan

Anggota penyelamat mencari mangsa tanah runtuh di Yeongju. - AFP
Anggota penyelamat mencari mangsa tanah runtuh di Yeongju. - AFP
A
A
A

SEOUL - Sekurang-kurangnya 22 orang maut dan 14 masih hilang selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di Korea Selatan, dengan ribuan penduduk diarah mengosongkan rumah.

Korea Selatan berada di kemuncak musim monsun dan menyebabkan hujan lebat sejak tiga hari lalu mencetuskan banjir, tanah runtuh dan limpahan air di empangan utama.

Kementerian Dalam Negeri melaporkan bahawa 22 orang telah terbunuh dan 14 lagi hilang dalam hujan lebat, kebanyakannya tertimbus oleh tanah runtuh atau selepas terjatuh ke dalam takungan banjir.

Majoriti mangsa termasuk 16 maut dan sembilan hilang berasal dari wilayah Gyeongsang Utara, sebahagian besarnya disebabkan oleh tanah runtuh di kawasan pergunungan yang menenggelamkan rumah dengan penghuninya.

Seorang responden kecemasan memberitahu Agensi Berita Yonhap bahawa di kawasan yang paling teruk terjejas, menyaksikan seluruh rumah dihanyutkan air deras.

Kementerian menambah, beberapa orang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan sejurus air sungai melimpah di wilayah Gyeongsang Utara.

Ketika ini, anggota penyelamat bertungkus-lumus menarik keluar kira-kira 19 kereta yang terperangkap dalam terowong bawah tanah sepanjang 430 meter di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara. - AFP