MA63: 17 perkara belum selesai tapi dipersetujui - Mohd Shafie

Mohd Shafie (tengah) pada sidang akhbar di Flat Tanjung Aru Kota Kinabalu.
Mohd Shafie (tengah) pada sidang akhbar di Flat Tanjung Aru Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendedahkan bahawa 17 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditimbulkan baru-baru ini belum selesai tetapi telah dipersetujui kerajaan Persekutuan ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah ketika itu.

Menurutnya, 17 perkara itu telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika itu.

"Tidak selesai, saya beritahu setuju. Waktu kami jadi kerajaan, kerajaan Persekutuan sudah setuju 17 daripada 21 perkara.

"Ia berkaitan isu tanah, Sipadan Ligitan, buruh, kesihatan, keselamatan dan hak-hak kehakiman Sabah dan Sarawak.

"Ini telah dipersetujui di peringkat jawatankuasa Perdana Menteri, Tun Mahathir tetapi ada antara perkara itu belum diselesaikan termasuk Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Flat Tanjung Aru di sini pada Sabtu.

Mohd Shafie meminta supaya pihak berkaitan tidak bangkitkan siapa yang telah lakukan atau sebaliknya serta siapa yang akan mendapat 'kredit' mengenai pelaksanaannya.

"Sekarang sudah ada menteri yang jaga MA63, tak perlu banyak cakap, tunaikan saja kerana sudah berkuasa, sudah ada jawatan dan lakukan seperti yang telah saya buat," katanya.

Ditanya mengenai adakah isu itu perlu diperdebatkan, beliau berpandangan ia terserah kepada mereka tetapi menekankan pelaksanaan membabitkan 21 perkara MA63 perlu diutamakan.

"Itu terserah kepada mereka kalau mahu berdebat kerana itu kebebasan kepada mereka tetapi jauh lebih penting daripada perdebatan, tunaikan, laksanakan apa yang telah dijanjikan itu saja.

"Bagi saya perkara itu boleh dikemukakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di Parlimen, apa yang penting bagi saya tunaikan apa yang termaktub," katanya.

Sebelum itu, Ketua Penerangan Warisan, Datuk Azis Jamman mencadangkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali melakukan debat secara bersemuka dan menjadikan Sinar Harian sebagai moderator.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!